HMD Global Perkenalkan Nokia 4.2, Nokia 3.2, Nokia 1 Plus, Dan Nokia 210 Comments Off on HMD Global Perkenalkan Nokia 4.2, Nokia 3.2, Nokia 1 Plus, Dan Nokia 210 326

Di pentas Nokia di MWC 2019, HMD Global nampaknya muncul dengan telefon pintar asas terbaharu iaitu Nokia 1 Plus, Nokia 3.2, dan Nokia 4.2. Berbeza dengan Nokia 9 PureView yang diumumkan sebagai peranti mercu, Nokia 1 Plus adalah telefon pintar yang hadir dengan kerangka badan boleh ditanggal selain Nokia 4.2 dan Nokia 3.2 pula hadir butang Google Assistant terbina.

Nokia 4.2

Nokia 4.2 merupakan peranti yang direka dengan panel kaca tetapi kerangkanya pula diperbuat daripada plastik. Telefon pintar premium dalam kelas permulaan ini dilengkapi skrin sebesar 5.71-inci bertakuk titisan air beresolusi HD+.

Ia turut dibungkus dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 439 dengan pilihan memori 2GB atau 3GB, diikuti storan seluas 16GB hingga 32GB – kedua-duanya menyokong simpanan tambahan menerusi slot kad microSD.

Sistem penggambaran peranti menyediakan dwi kamera utama iaitu 13MP f/2.2 + 2MP kedalaman. Kamera depan 8MP pula boleh ditetapkan untuk menyahkunci peranti tanpa menggunakan imbasan jari. Bagi yang gemar penggambaran malam, peranti turut menawarkan sokongan mod malam untuk fotografi yang lebih menarik.

Menarinya, butang kuasa Nokia 4.2 akan berkelip sekiranya notifikasi masuk tanpa pengguna melihat pada skrin. Ia dikeluarkan dengan pilihan warna Black dan Pink Sand dan akan mula dijual pada harga permulaan $169 (~RM688) bermula bulan April 2019.

Nokia 3.2

Nokia 3.2 pula memiliki skrin yang lebih besar berbanding generasi terdahulu. Paparan yang digunakan adalah jenis TFT 6.26-inci beresolusi HD+ dengan takuk titisan air. Rekaan yang besar juga telah memuatkan bateri yang lebih besar ditambah pula cipset yang lebih baharu, serta antaramuka yang terkini.

Nokia 3.2 dikuasakan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 429 bersama memori 2GB atau 3GB RAM. Pilihan storan 16GB atau 32GB juga boleh boleh diperluaskan menggunakan kad microSD jika pengguna mahu. Peranti ini turut dibenamkan kamera depan 5MP untuk berswafoto dan menyahkunci peranti disamping kamera belakang tunggal 13MP – tanpa sokongan mod malam.

Bateri yang besar 4,000mAh pula tidak didehkan berapa lama ia mampu bertahan, tetapi kami percaya mampu menawarkan waktu penggunaan yang lebih lama. Tanda harga peranti ini adalah $139 (~RM566) seunit dengan pilihan warna Black atau Steel. Tidak dilupakan, ia juga menyediakan butang kuasa dengan ciri lampu notifikasi seperti Nokia 4.2.

Nokia 1 Plus

Peranti ini dijalankan sistem operasi Android Pie (Go Edition) yang telah dinaik taraf daripada model sebelumnya, Nokia 1 pada tahun lalu. Ia dihidupkan di atas papan yang berisi cip pemproses empat teras MediaTek MT6739 (1.5Ghz), memori 1GB RAM, dan storan dalaman 8GB.

Walaupun HMD mensasarkan peranti ini kepada pengguna ringan, ia turut menyediakan skrin yang besar 5.45-inci disamping slot untuk kad microSD. Ia disokong sumber tenaga daripada bateri berkapasiti 2,500mAh yang difahamkan mampu bertahan untuk tempoh yang lama. Kamera pula menawarkan sensor 8MP di belakang dan 5MP di hadapan.

Kerangka belakang Nokia 1 Plus kini boleh ditanggalkan malah boleh ditukar kepada warna lain seperti merah, biru, atau hitam. Nokia 1 Plus akan dijual tidak lama lagi di pasaran terpilih pada harga $99 (~RM403) seunit.

Nokia 210

Nokia juga berkesempatan memperkenalkan telefon asas Nokia 210, menawarkan skrin QVGA 2.4-inci, papan kekunci getah, kamera VGA di belakang, serta LED flash. Telefon ini dijalankan perisian S30 yang menyediakan pelayar Opera Mini, Facebook, dan permainan ikonik, Snake.

Nokia 210 akan berada di pasaran bermula Mac 2019 pada harga $35 (~RM142) sebuah.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend