HiVision Pada EMUI 9.0 Menawarkan 4 Fungsi Menarik Yang Patut Anda Cuba! 0 574

Siri Huawei Mate 20 boleh dianggap antara telefon pintar terbaik di pasaran kerana ia dioperasikan dengan pemproses Kirin 980 yang menjanjikan prestasi terbaik setakat ini. Pemproses yang dibangunkan sendiri oleh Huawei ini turut memiliki keistimewaan kerana menyokong dwi NPU (Neural Processing Unit) yang mampu mempertingkatkan prestasi AI (Kecerdasan Buatan) sehingga 134% berbanding sebelum ini.

Ini bermakna dengan bantuan AI yang berprestasi tinggi, ia mampu membantu fungsi fotografi ataupun videografi pada Huawei Mate 20, Mate 20 Pro dan Mate 20 X dengan lebih baik. Malah Huawei turut mengoptimumkan lagi keupayaan tersebut dengan pengenalan fungsi HiVision yang berfungsi untuk mengenal pasti objek menggunakan bantuan AI.

1. HiVision QR Code

Sebagaimana nama yang digunakannya, fungsi yang pertama ini membolehkan anda mengimbas kod QR ataupun kod bar dengan lebih mudah. Sebaik sahaja kod QR atau kod bar berjaya diimbas, segala maklumat atau data yang ada akan terus dipaparkan pada skrin telefon pintar anda.

Dalam kehidupan seharian, fungsi ini sememangnya sangat praktikal kerana ia boleh digunakan ketika berada di dalam parkir pusat membeli-belah. Anda hanya perlu mengimbas kod QR yang terdapat pada tiang kotak parkir bagi memudahkan anda untuk mengetahui di mana kenderaan anda diletakkan.

2. HiVision Identify

Berbeza dengan mod HiVision QR Code, HiVision Identify secara asasnya menawarkan fungsi carian berasaskan imej. Menurut Huawei, fungsi ini menyokong tiga kategori utama iaitu Food (makanan), Art (seni) dan juga Landmarks (mercu tanda). Bagi mendapatkan maklumat yang berkaitan, Huawei telah berkolaborasi dengan beberapa pembekal penyelesaian berasaskan awan terkenal seperti Azumio, Magnus, dan juga Microsoft.

HiVision Identify – Food
HiVision Identify – Arts
HiVision Identify – Landmarks

Sebagai contoh apabila anda menghalakan kamera pada buah epal, secara automatik kiraan kalori akan dipaparkan pada skrin telefon pintar anda.

3. HiVision Shopping

Melalui kerjasama dengan Amazon, anda boleh mengetahui maklumat sesebuah produk dengan lebih mudah dengan bantuan mod ini. Pelbagai produk yang berkaitan akan turut dipaparkan pada skrin telefon pintar anda dan lebih menariknya produk itu boleh terus dibeli secara dalam talian melalui platform e-dagang Amazon.

4. HiVision Translate

Apabila anda pergi melancong ke luar negara ataupun ternampak teks di dalam bahasa asing, proses terjemahan boleh diakses dengan sangat mudah. Anda hanya perlu menghalakan lensa kamera pada teks tersebut dan secara automatik terjemahan akan dibuat secara masa-nyata.

Jika anda ingin membaca terjemahan itu dengan lebih mudah, klik sahaja pada simbol ‘pause’ yang terdapat pada bahagian bawah kanan skrin.

Sokongan peranti?!
Fungsi HiVision ini siap tersedia di dalam sistem operasi EMUI 9.0 berasaskan Android 9.0 Pie dan ia boleh diakses pada Huawei Mate 20, Mate 20 Pro dan juga Mate 20 X. Namun berdasarkan percubaan kami, fungsi ini turut tersedia pada model Huawei P20 Pro yang dioperasikan dengan EMUI 9.0 versi beta tanpa sebarang masalah.

Terdapat dua cara untuk anda mengakses fungsi HiVision.

Untuk menggunakan fungsi HiVision, anda boleh mengaksesnya terus melalui aplikasi kamera dengan menekan simbol seperti mata pada bahagian atas kanan skrin. Selain itu anda juga boleh mengakses dengan meleretkan jari dari atas skrin ke bawah pada paparan homescreen untuk mengaktifkan antaramuka HiSearch dan ikon yang sama boleh dilihat bersebelahan ruangan carian.

Miliki siri Huawei Mate 20 anda hari di kedai atas talian rasmi Huawei:

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend