Hasil Gambar Daripada Sony Xperia 1 Diperlihatkan Dalam Video Rasmi Comments Off on Hasil Gambar Daripada Sony Xperia 1 Diperlihatkan Dalam Video Rasmi 575

Sony Xperia 1 ialah telefon pintar pertama di dunia yang hadir dengan nisbah kerangka 21:9. Ia sekaligus memberikan kelainan kepada telefon pintar sedia ada yang kebanyakannya menggunakan nisbah 19:9/19.5:9. Peranti ini telah dipertontonkan kepada umum dalam acara MWC 2019 pada Februari lepas.

Sony telah membuat perubahan besar pada peranti mereka tahun ini apabila Xperia 1 menjadi yang pertama menggunakan sistem tri-kamera. Gabungan tiga lensa 12MP menawarkan fotografi bersudut lebar dan ultralebar selain menyokong 2x zum optikal. Melalui teknologi Optical SteadyShot dan Dual Pixel Autofocus, peranti ini dikatakan dapat merakam video lebih baik berbanding model-model sebelumnya. Hari ini hasil gambar dan sampel view finder Xperia 1 telah diperlihatkan dalam video rasmi berdurasi 43 saat.

Xperia 1 dilengkapi paparan Triluminos 6.5-inci 4K OLED yang mana membolehkan pengguna menikmati kandungan HDR semasa menstrim video di Netflix dan Amazon Prime. Ciri tayangan CinemaWide pula memberikan sudut pandang yang lebih luas berbanding telefon pintar biasa. Jadi di sini jelas menunjukkan Sony benar-benar memfokuskan kepada pengalaman menonton yang imersif kepada pengguna.

Buat masa ini, pihak Sony tidak menyatakan tarikh khusus berhubung ketersedian Xperia 1. Bagaimanapun ia dijangka dijual sekitar bulan Mac hingga Jun tahun ini. Harga pula masih dirahsiakan.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend