Google Pixel 3a dan Pixel 3a XL Kini Rasmi Dengan Kamera Setanding Pixel 3 Pada Harga Lebih Mampu Milik Comments Off on Google Pixel 3a dan Pixel 3a XL Kini Rasmi Dengan Kamera Setanding Pixel 3 Pada Harga Lebih Mampu Milik

Google akhirnya telahpun melancarkan telefon pintar baharunya dengan kemunculan dua model iaitu Pixel 3a dan juga Pixel 3a XL. Berbeza dengan generasi Pixel sebelum ini, kedua-dua model ini disasarkan untuk segmen pasaran kelas pertengahan pada harga yang lebih mampu milik.

Jika dilihat pada sokongan spesifikasi, Pixel 3a dan Pixel 3a XL telah dikuasakan dengan cipset Qualcomm Snapdragon 670 (10nm), RAM berkapasiti 4GB (LPDDR4x), dan ia hanya ditawarkan dalam ruang storan sebesar 64GB, tanpa sokongan slot kad microSD. Kedua-duanya telah dioperasikan dengan sistem operasi Android 9.0 Pie dan akan menerima kemas kini versi utama Android untuk tempoh tiga tahun.

Google Pixel 3a tampil dengan paparan skrin 18.5:9 berukuran 5.6 inci OLED FHD+ (2220 x 1080 piksel), manakala Pixel 3a XL pula memiliki skrin 18:9 berukuran 6.0 inci OLED FHD+ (2160 x 1080 piksel). Walaupun hadir dengan rekaan kompak dan lebih murah, kedua-dua varian ini turut didatangkan dengan sokongan speaker berkualiti stereo.

Dari segi kapasiti bateri, Pixel 3a menyokong bateri sebesar 3000 mAh, dan Pixel 3a XL pula memiliki bateri lebih besar iaitu 3700 mAh, iaitu lebih besar berbanding Pixel 3 (2915 mAh) dan Pixel 3 XL (3430 mAh). Kedua-duanya tersedia dengan teknologi pengecasan pantas 18W melalui penyediaan port USB Type-C (USB PD 2.0). Manakala dari segi sambungan, dua model ini tersedia dengan WiFi 802.11ac (5GHz), Bluetooth 5.0, dan juga NFC.

Walaupun ditawarkan pada harga lebih murah, Pixel 3a dan Pixel 3a XL masih menjanjikan keupayaan penggambaran sama seperti Pixel 3 dan Pixel 3 XL. Kamera utamanya menawarkan lensa 12.2MP (f/1.8) dengan teknologi penstabilan OIS + EIS, dan kamera depannya pula menyokong lensa 8MP (f/2.0).

Pixel 3a dijual pada harga USD399 (kira-kira RM1,655) dan Pixel 3a XL pula dijual pada harga USD479 (kira-kira RM1,986). Terdapat tiga pilihan warna ditawarkan iaitu Clearly White, Just Black dan juga Purple-ish. Kedua-dua model ini hanya dijual di 13 buah negara termasuklah Singapura, India, Taiwan, Amerika Syarikat, Australia, dan United Kingdom.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend