Google Mengemaskini Android Auto, Ciri Baharu Disertakan Dan Lebih Optimum Untuk Skrin Lebar Comments Off on Google Mengemaskini Android Auto, Ciri Baharu Disertakan Dan Lebih Optimum Untuk Skrin Lebar

Android Auto merupakan sistem android untuk kenderaan masa kini. Ia digunakan sama ada untuk kegunaan navigasi, mendengar muzik, dan sebagainya tanpa perlu anda membuka peranti ketika memandu.


Terbaru, Google telah mengemaskini sistem ini dengan menawarkan sejumlah ciri baharu kepada pengguna. Android Auto kini menawarkan pelancar baharu yang mana menyertakan lebih banyak aplikasi pada skrin papan pemuka kereta. Aplikasi yang sering dibuka pula akan dipaparkan di bahagian atas skrin malah Google Assistant juga akan memberitahu anda maklumat penting mengenai berita atau kalendar tanpa perlu memandang ke arah skrin.

Sebaik disambungkan kepada Android Auto, peranti anda kini secara automatiknya akan menyambung semula muzik yang dimainkan sebelum ini selagi aplikasi tersebut menyokong Android Auto.


Jika sebelum ini anda pernah bertanyakan Google mengenai destinasi, kini ia secara automatik akan memulakan navigasi menggunakan aplikasi yang sering digunakan sebaik anda memasuki kenderaan.

Sistem navigasi terbaru akan memberikan maklumat yang lebih terperinci berbanding sebelum ini. Bukan itu sahaja, semasa menggunakan navigasi, anda juga boleh mengawal muzik pada bahagian bawah skrin. Fungsi ini juga berlaku ketika anda menggunakan aplikasi muzik, sistem navigasi akan ditunjukkan di bahagian bawah.


Kini Android Auto turut menyertakan butang dedikasi untuk menyemak notifikasi yang anda terlepas pandang. Dari sini, anda boleh mainkan semula pesanan suara, membalas mesej menggunakan suara, atau memanggil kembali panggilan.

Terakhir sekali, Android Auto akan melaraskan paparan UI sekiranya paparan skrin kenderaan anda mempunyai saiz yang lebar. Ia sekaligus mengoptimumkan ruang skrin yang sebelum ini terbiar kosong.

Jadi, jika sistem inforia kenderaan anda menyokong Android Auto, anda akan mula melihat ciri-ciri terbaru ini dalam beberapa minggu dari sekarang. Kemas kini ini tidak akan ditunjukkan pada Android Auto di telefon pintar anda. Google mengatakan mereka akan memperluaskan pengalaman skrin telefon pintar daripada Android Auto kepada mod bantuan pemanduan pada masa akan datang.

sumber

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend