eTunai Rakyat Sebanyak RM450j Dengan RM30 Setiap Seorang Bakal Dilancarkan Pada Januari 2020 Comments Off on eTunai Rakyat Sebanyak RM450j Dengan RM30 Setiap Seorang Bakal Dilancarkan Pada Januari 2020

Persiapan akhir bagi pelaksanaan inisiatif eTunai Rakyat yang telah diumumkan oleh Menteri Kewangan Malaysia kini sedang giat dijalankan dan bakal dilancarkan pada Januari 2020. Program rangsangan digital berjumlah RM450 juta ini telah diumumkan semasa perbentangan Belanjawan 2020 dan bertujuan menggalakkan rakyat menggunakan eDompet dalam pembayaran digital.

Kementerian Kewangan telah melantik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk memudah serta menyelaraskan pelaksanaan inisiatif eTunai Rakyat yang melibatkan kerjasama rapat dengan pelbagai pihak termasuk JPN dan LHDN. Kerja-kerja pelaksanaan yang diselaraskan oleh Khazanah ini merupakan komprehensif bagi memastikan inisiatif eTunai Rakyat dapat dilaksanakan dalam tempoh yang ditetapkan.

Antara lain, kerja-kerja pelaksanaan ini merangkumi usaha membangunkan mekanisme serta proses dan prosedur yang diperlukan oleh inisiatif ini. Khazanah juga bertanggungjawab ke atas pemilihan pengendali perkhidmatan eDompet yang secara kolektif menyediakan platfom sedia ada yang mempunyai jumlah pengguna aktif sedia yang besar.

Khazanah akan mengumumkan pengendali perkhidmatan eDompet yang dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan bagi membolehkan inisiatif ini dilancarkan dalam tempoh yang ditetapkan serta keberkesanannya.

Melalui inisiatif eTunai Rakyat, warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas yang berpendapatan tahunan kurang daripada RM100,000, layak menerima RM30 setiap seorang bagi dibelanjakan untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang tersedia melalui pengendali perkhidmatan eDompet terpilih.

Selain itu, pengendali perkhidmatan eDompet yang dipilih juga merancang untuk menawarkan insentif tambahan bagi menggalakkan penggunaan sepanjang tempoh dua bulan inisiatif ini dilaksanakan. Maklumat lanjut tentang cara memohon serta terma dan syarat penggunaannya akan dimaklumkan oleh Khazanah dan pengendali perkhidmatan eDompet yang dipilih dalam masa terdekat.

– Lim Guan Eng, 19 Disember 2019

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend