[Eksklusif] Pandang Pertama HUAWEI Y9s, Telefon Yang Masih Ada Google Comments Off on [Eksklusif] Pandang Pertama HUAWEI Y9s, Telefon Yang Masih Ada Google 269

Walaupun rupanya hampir seiras dengan peranti Android lain, HUAWEI Y9s sebenarnya kelihatan lebih seksi kerana warna ini diilhamkan dari siri HUAWEI P30. Breathing Crystal adalah nama rasmi untuk warna ini. Apa yang menarik tentangnya ialah ia masih menawarkan perkhidmatan Google seperti peranti Android lain. Spesifikasi telefon diletakkan di bawah kategori kelas pertengahan, hadir dengan kamera pop-naik, skrin besar, bateri besar, memori besar, dan kamera belakang 48MP.

Paparan Penuh FHD+


Skrin hadir dengan saiz 6.59″ menggunakan paparan IPS dengan nisbah skrin-ke-kerangka hampir 85%. Memandangkan ia bukan paparan OLED, ini bermakna tiada fungsi pengimbas cap jari pada skrin. Walaupun begitu skrin yang cukup luas ini menghasilkan kontras warna yang baik dengan butiran yang jelas. Tiada takuk atau lubang kamera membuatkan pengalaman visual menjadi lebih baik dan mengasyikkan.

Pengimbas Cap Jari Ditepi


Seperti yang saya cakapkan tadi, sistem pengimbas cap jari bukan pada skrin tetapi ia terletak di sebelah kanan kerangka. Sistem biometrik ini juga merangkap sebagai butang kuasa/kunci yang boleh ditekan. Di atasnya pula adalah butang laras suara. Daripada segi kawalan, telefon ini mesra dengan penggunaan sebelah tangan.

Trikamera 48MP


Beralih ke sebelah belakang, Y9s dilengkapi sistem trikamera yang mana lensa utama membawakan resolusi 48MP. Dua lensa lain menawarkan kamera ultralebar dan kedalaman masing-masing dengan resolusi 8MP dan 2MP. Konfigurasi turut dilengkapi satu LED flash namun modul kamera ini terkeluar dari permukaan membuatkan ia mudah untuk calar atau kemek jika tidak menggunakan sarung pelindung.

Kamera Pop-naik 16MP


Satu kelebihan Y9s ialah paparan skrinnya yang penuh hingga ke hujung kerangka. Hal ini disebabkan kamera depan telah dibina pada kerangka dan boleh dikeluarkan melalui mekanisma pop-naik. Pergerakan kamera depan ini agak lambat dan kami pasti ia masih menggunakan rekaan terdahulu yang ada pada model Y9 Prime. Walaubagaimanapun, lensa 16MP ini agak memuaskan dan turut dibantu dengan sokongan AI.

Storan 128GB + 256GB microSD


Peranti ini menawarkan storan sebesar 128GB terus dari kotak. Ia turut menyokong kad microSD sehingga 256GB atau SIM kedua menerusi dulang hibrid. Tiada slot ketiga tetapi memori 6GB RAM dapat membantu telefon mengekalkan kelancaran pada setiap masa. Tambahan, kamera pop-naik ini akan tertutup secara sendiri apabila peranti mengesan gegaran yang kuat. Ini bermakna jika peranti terhempas, risiko untuk kamera rosak adalah rendah.


Akhir sekali dalam sesi pra-pandang ini ialah pada bahagian bawahnya. Port USB-C disertakan dan yang paling menarik bicu audio 3.5mm masih dikekalkan. Agak pelik juga lubang pembesar suara ini diletakkan jauh ke hujung kerangka, tetapi cukup praktikal kerana apabila telefon ini dilintangkan, pembesar suara masih lagi terdedah tanpa dilitupi tangan.

HUAWEI Y9s akan berada di pasaran bermula 29 November ini pada harga RM999 seunit. Pembelian juga didatangkan dengan hadiah berupa gelang pintar HUAWEI Band 4 bernilai RM139.

Baca juga:

HUAWEI Y9s Akan Dijual Di Malaysia Mulai 29 November – RM999 Percuma HUAWEI Band 4

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend