Digi Tawar Pengalaman Pelancongan Maya Masa Nyata Pertama Dikuasakan Oleh 5G Di Langkawi Comments Off on Digi Tawar Pengalaman Pelancongan Maya Masa Nyata Pertama Dikuasakan Oleh 5G Di Langkawi

Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) baru-baru ini telah menjalinkan kerjasama dengan Malaysia Airports dan Panorama Langkawi dalam menawarkan pengalaman pelancongan maya masa nyata yang pertama di Malaysia yang dikuasakan oleh teknologi 5G di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Gondola kereta kabel dan zon pengalaman realiti maya (VR) telah diadakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (Kod IATA: LGK) untuk membolehkan para pengunjung menikmati pemandangan 360 darjah Gunung Machinchang. Paparan visual tersebut dipancarkan secara langsung dari sejauh 20 kilometer menggunakan kamera yang dipasang di stesen tengah SkyCab Langkawi, yang merupakan sistem kereta kabel paling curam di dunia dengan ketinggian 708 meter atas paras laut.

Dengan keupayaan 5G dalam memberikan kelajuan yang amat tinggi dan penyambungan kadar kependaman (latensi) yang sangat rendah, pengunjung dapat menikmati pemandangan dalam masa nyata dengan kualiti paparan yang berdefinisi tinggi tanpa sebarang gangguan. Pengalaman pelancongan maya 5G yang dibuka buat semua sehingga Mac 2020 ini diusahakan untuk memberi pengalaman melancong yang baharu, lebih mendalam dan bersepadu buat pelancong dan seterusnya memacu industri pelancongan negara.

Pameran ini adalah sebahagian daripada kes penggunaan Digi dalam Projek Demonstrasi 5G (5GDP), yang dijalankan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk memudahkan, membangunkan dan mengadaptasikan kes penggunaan 5G secara langsung dalam persekitaran yang terkawal.

Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty berkata bahawa usaha perintis bagi pengalaman pelancongan maya 5G Langkawi ini adalah sejajar dengan pendekatan kerjasama yang diambil oleh Digi dalam membina ekosistem 5G bersama rakan kongsi, dan juga seiring dengan Tahun Melawat Malaysia 2020.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend