Digi Menampilkan Perkhidmatan Kecemasan, Pendidikan Dan eSukan Berteknologi 5G Di Pameran 5G Malaysia Comments Off on Digi Menampilkan Perkhidmatan Kecemasan, Pendidikan Dan eSukan Berteknologi 5G Di Pameran 5G Malaysia

Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi) akan memberi peluang kepada warga Malaysia untuk meneroka potensi 5G dalam bidang Servis Kecemasan, Pendidikan dan eSukan di Pameran 5G Malaysia yang akan berlangsung selama tiga hari, bermula semalam.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Digi, Albern Murty yang turut hadir di acara tersebut yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, pameran tersebut bertindak sebagai titik semak yang penting bagi Malaysia sementara negara ini mengorak langkah ke pelaksanaan teknologi 5G.

Kes kegunaan yang kami persembahkan pada hari ini adalah contoh bagaimana teknologi 5G membolehkan respon yang lebih pantas dan lebih baik diambil, terutamanya bagi situasi kecemasan yang memerlukan data yang tepat dalam masa nyata (real-time). Teknologi 5G membolehkan penyiaran video 4K, pengumpulan dan pemindahan data dibuat dalam masa nyata kepada servis kecemasan yang tertentu seperti pemberi respon pertama, pihak hospital dan bomba, yang boleh menjimatkan masa yang berharga. Apa yang penting adalah keupayaan 5G untuk membahagikan rangkaiannya dan mendedikasikan sebahagian daripada rangkaian tersebut untuk misi servis kritikal sahaja, contohnya yang melibatkan kecemasan,” ujar beliau.

Memperkasakan Servis Kecemasan, Pendidikan dan eSukan dengan 5G

Di pameran tersebut, Digi, dengan kolaborasi bersama ZTE, telah mempersembahkan tiga kes kegunaan 5G untuk mendemonstrasi impak potensi teknologi tersebut dalam hal melibatkan servis kecemasan, pendidikan dan permainan video.

Pameran pertama ini menunjukkan keupayaan 5G melalui Jalur Lebar Mudah Alih yang dipertingkatkan (eMBB) dan tempoh pendaman (latency) yang amat rendah dalam usaha untuk menambah baik penawaran respons kecemasan dan keselamatan dalam masa nyata, dan dengan lebih bersepadu merentasi pemberi respons yang terdiri daripada pelbagai pihak.

Sebuah dron yang dikuasakan oleh 5G dihubungkan dengan Command Centre Monitoring System (CCMS) untuk pameran ini. CCMS menghantar dron tersebut yang dilengkapi dengan kamera berdensiti tinggi serta suapan siaran video langsung ke lokasi kecemasan setelah panggilan kecemasan diterima. Dron tersebut akan memantau kondisi lalu lintas, lalu menghantar data tersebut kepada CCMS dalam masa nyata melalui rangkaian 5G ini.

Kes kegunaan yang kedua mendemonstrasikan keupayaan teknologi tersebut melalui eMBB untuk menawarkan aplikasi Realiti Terimbuh (AR) bagi tujuan pendidikan masa hadapan yang tidak dihadkan oleh geografi. Dengan menggunakan 5G dan gogal AR, pengguna dari seluruh pelosok dunia boleh mengambil bahagian dan berinteraksi dengan satu sama lain dalam sebuah kelas maya. Di pameran tersebut, lebih daripada seorang pengguna dapat berinteraksi pada masa yang sama untuk menukar warna kereta dan jenis rim, zum ke arah komponen kereta yang utama seperti enjin, mengeluarkan komponen dan memasangnya semula untuk pengalaman pembelajaran secara langsung.

Demonstrasi yang ketiga memaparkan keupayaan 5G bagi memperkayakan eMBB dan tahap pendaman yang amat rendah menerusi Realiti Maya (VR) dalam permainan video (eSukan). Permainan video yang dibawakan telah mensimulasikan sebuah pengalaman berski di atas gunung menggunakan gogal VR. Ciri pendaman rendah dan kelajuan tinggi rangkaian 5G ini memberikan keupayaan keterhubungan yang lancar untuk menambah baik pengalaman pengguna yang dirasai melalui permainan video.

Kajian awal 5G dari Telenor Group

Sebagai sebahagian daripada Telenor Group, Digi berpeluang untuk melihat sendiri hasil kajian daripada projek percubaan 5G yang dijalankan oleh Telenor di Scandinavia yang telah bermula pada bulan November 2018. Pelbagai kes kegunaan sedang diuji dan ia merangkumi kapal laut berautonomi, bot berautonomi, fasiliti penternakan ikan, dan lebih banyak lagi bakal diperkenalkan. Digi akan menggunakan dapatan tersebut untuk menggalakkan penyelidikan berkaitan 5G serta pemupukannya untuk manfaat Malaysia.

Ketua Unit Penyelidikan Telenor, Bjørn Taale Sandberg melalui ucapannya mengenai “The Perfect Synergy: How 5G, IoT and AI will change everything” telah berkongsi dapatan global tentang bagaimana 5G akan memberi kuasa kepada ‘Internet of Things’ (IoT) yang akan memacu kemajuan Kecerdasan Buatan (AI). Beliau percaya bahawa manfaat menyeluruh bagi masyarakat dapat dizahirkan dengan menerokai teknologi kolektif ini secara bersama.

Hasil kajian awal daripada projek percubaan di Norway telah menekankan keperluan kolaborasi yang erat bersama rakan-rakan kongsi dalam pelaksanaan 5G. Persefahaman hujung-ke-hujung berkenaan ekosistem dalam penerapan teknologi 5G ini perlu diwujudkan untuk mengenal pasti batasan dan cabaran yang perlu ditempuhi serta solusi bertepatan yang boleh diambil. 5G ialah asas untuk memboleh dan memperkasakan teknologi seperti IoT dan data yang diambil untuk AI daripada objek yang terhubung bagi terus memacu ekonomi kita ke hadapan,” jelas Bjørn.

Mengemudi 5G di landasan yang betul

Tambah Albern, perancangan dan ujian yang dijalankan dengan teliti adalah mustahak untuk merealisasikan janji 5G. Dalam tempoh terdekat ini, Digi akan mendirikan stesen pangkalan di tapak ujiannya di Putrajaya, dan ia terbuka kepada organisasi yang berminat untuk menjalin kerjasama dan menjalankan ujian lapangan.

Banyak lagi tugasan yang perlu diselesaikan sebelum 5G dapat diimplementasikan. Kolaborasi melibatkan pelbagai pihak secara meluas adalah penting agar lebih banyak ujian kes kegunaan dapat dijalankan, dan untuk mengumpul hasil kajian yang dapat membentuk visi 5G yang sesuai mengikut keperluan negara. Kami percaya bahawa Malaysia berada di landasan yang tepat dengan pendekatan praktikal dan konsultatif yang diambil terhadap 5G. Dan sebagai sebahagian daripada pasukan petugas 5G di peringkat nasional, kami akan terus berkongsi hasil kajian kami untuk mencadangkan strategi holistik yang dapat mempercepatkan proses pemupukan 5G di Malaysia.”

Pameran 5G Malaysia dihoskan oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kolaborasi bersama syarikat-syarikat komunikasi yang terkemuka serta institusi pendidikan tinggi. Pameran tersebut yang terbuka kepada orang ramai pada 20 dan 21 April di Kompleks Perbadanan Putrajaya memberikan peluang unik untuk warga Malaysia menyaksikan potensi teknologi telekomunikasi alaf baharu.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan dengan Digi, layari www.digi.com.my.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend