Berikut Adalah Tiga Fungsi Penting Dron Dalam Menangani Wabak COVID-19 Di Seluruh Dunia Comments Off on Berikut Adalah Tiga Fungsi Penting Dron Dalam Menangani Wabak COVID-19 Di Seluruh Dunia

Bagi menentang penularan penyakit berjangkit COVID-19 yang kini telah menjangkiti lebih 2.8 juta penduduk dunia, penggunaan dron jarak jauh telah digunakan dengan lebih meluas oleh pihak berkuasa tempatan di kebanyakan negara.

Melihat akan kepentingan penggunaan dron di saat getir seperti sekarang ini, ia jelas membuktikan bahawa organisasi awam dan swasta boleh memanfaatkan dron sebagai alat untuk merancang dan persiapan ketika menangani situasi yang sama pada masa akan datang.

Berikut adalah antara penggunaan dron dalam menangani COVID-19 di seluruh dunia:

1. Dron pembasmi kuman – dron pertanian yang sebelum ini telah digunakan untuk tujuan semburan racun serangga perosak kini telah diubah kegunaannya untuk menjalankan aktiviti pembasmian kuman melalui semburan di udara.

  • China
    • XAG Technology, DJI, pihak berkuasa China dan agensi tempatan lain telah bersama-sama mengeluarkan garis panduan operasi dan berjaya melaksanakan operasi penyemburan udara yang meliputi 902 juta meter persegi di 20 wilayah di China dengan menggunakan lebih daripada 2,600 dron.
  • India
    • Melalui kerjasama dengan Perbadanan Perbandaran Delhi Utara (NDMC), Corona Combat Drone (CCD) telah digunakan untuk menjalankan operasi pembasmian kuman di beberapa kawasan di sekitar bandar Delhi.
    • Selain itu Indore City di India turut menggunakan dron yang mampu membawa 16 liter pembasmi kuman untuk membuat semburan dengan jarak antara 4 hingga 7 batu (1.6km hingga 11.2km) dalam tempoh 30 minit.
  • Sepanyol
    • Unit Kecemasan Ketenteraan Sepanyol (UME) telah menggunakan DJI AGRAS MG-1 yang merupakan dron untuk sektor pertanian bagi tujuan semburan pembasmi kuman di sekitar bandar Madrid.
  • Korea Selatan
    • Bandar Daegu di Korea Selatan telah menggunakan dron yang berisi sekitar 2.5 gelen pembasmi kuman untuk membuat semburan di kawasan seluas 105,000 kaki persegi dalam tempoh hanya 10 hingga 12 minit sahaja.

2. Dron penghantaran – penggunaan dron juga telah digunakan sebagai salah satu kaedah logistik untuk membuat penghantaran bekalan perubatan dan juga barangan pengguna, terutamanya di kawasan yang terpencil. Selain mampu membantu dalam penjarakkan sosial (social distancing), ia juga lebih menjimatkan masa berbanding pengangkutan darat.

  • China
    • Antwork yang merupakan kumpulan syarikat TerraDrone, telah menggunakan dron untuk membuat penghantaran sampel perubatan dan juga bahan keperluan penting di sekitar bandar Xinchang.
  • AS, Finland dan Australia
    • Syarikat Alphabet yang menawarkan perkhidmatan penghantaran telah berkolaborasi dengan kedai tempatan di tiga negara tersebut telah berjaya membuat lebih daripada 1,000 penghantaran dalam tempoh dua minggu dengan hanya menggunakan dron.
  • Ghana dan Rwanda
    • Zipline yang berfungsi sebagai rangkaian pengedaran berpusat di Ghana dan Rwanda telah menggunakan dron untuk membuat penghantaran bekalan COVID-19. Zipline juga telah merancang untuk memperluaskan perkhidmatan ini di AS dan India.
  • Ireland
    • Manna Aero dilaporkan akan memulakan fasa percubaan di bandar Moneygall untuk membuat penghantaran bekalan perubatan menggunakan dron. Ia dikatakan mampu membuat 100 penghantaran sehari bagi setiap satu dron yang digunakan.

3. Dron pengawasan dan pemantauan – pihak ketenteraan akan menggunakan dron untuk pelbagai operasi dalam usaha menangani penularan COVID-19. Antaranya termasuklah untuk tujuan pemantauan, pengumuman awam, dan juga membantu penguatkuasaan undang-undang tempatan.

  • China
    • dron telah digunakan untuk mengawasi dan menyiarkan arahan khas untuk melindungi orang awam daripada COVID-19. Malah dron itu juga akan turut disertakan sekali dengan stiker kod QR yang boleh diimbas untuk pendaftaran maklumat kesihatan.
  • Kazakhstan
    • KazUAV yang merupakan syarikat kumpulan TerraDrone telah menyediakan dron dengan sokongan sensor inframerah untuk aktiviti rondaan dan pemantauan pergerakan haram melepasi sempadan dalam usaha untuk memperlahankan penyebaran virus COVID-19 di negara itu.
  • India
    • Pihak Polis Gujarat dan Kerala, masing-masing telah melepaskan sebanyak 200 dan 500 dron di bandar yang memiliki populasi tinggi seperti di Delhi, Mumbai dan Kolkata untuk tujuan pengawasan dan pemantauan.
  • Itali
    • Pihak Polis Treviolo di Itali telah menggunakan dron untuk memberi amaran melalui pembesar suara kepada orang awam yang melanggar peraturan, terutamanya apabila mereka berada di kawasan yang tidak dibenarkan.
    • Sokongan sensor suhu pada dron ini turut digunakan untuk mengambil suhu individu yang berada di luar rumah bagi memastikan mereka tidak memiliki simptom COVID-19.
  • UK
    • Beberapa pasukan polis di UK telah menggunakan dron untuk mengawasi orang awam yang melanggar peraturan di sekitar kawasan taman reakreasi. Rakaman dron akan digunakan untuk menyoroti tingkah laku yang betul dan tidak betul.
  • Malaysia
    • Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Unit Dron Pasukan Gerakan Udara (PGU) bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah menggunakan dron bagi mengawal dan memantau pergerakan orang awam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada setiap masa.
    • Lebih 10 dron yang dilengkapi alat pengesan haba dan pembesar suara ini turut berupaya membunyikan siren amaran dan nasihat kepada masyarakat untuk mematuhi PKP dalam tiga bahasa.
    • Antara lokasi penggunaan dron itu termasuklah tempat tumpuan awam seperti Pasar Borong Selayang, Pasar Keramat, Chow Kit, dan Little India di Brickfields.

Tidak dinafikan penggunaan dron sememangnya sangat membantu dalam menangani penularan wabak COVID-19, tetapi penggunaannya dilihat agak perlahan dan tidak meluas. Ini disebabkan oleh pelbagai faktor seperti peraturan penggunaan dron yang tidak konsisten, dan juga masalah keselamatan dan privasi.

Namun ketika krisis COVID-19 melanda, penggunaan dron dilihat telah berjaya membantu serta memudahkan keperluan untuk melindungi nyawa dan juga membanteras penularan wabak ini. Jadi diharapkan penggunaan dron ini akan diteliti dengan lebih mendalam terutamanya di saat getir seperti yang berlaku ketika ini.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend