
Sebagai sebahagian daripada inisiatif untuk memupuk minat golongan muda di negara ini terhadap industri eSukan dan gaming di Malaysia, Bad Lab dan Watsons Malaysia telah menjalinkan kerjasama untuk menganjur kejohanan eSukan – ‘The BAD Duel’.
Melalui pelancaran rasmi kejohanan ‘The BAD Duel’ yang berlangsung di Sunway Velocity Vanity Atrium, ia bakal menyaksikan penyertaan para peserta yang sememangnya dikenali dalam arena gaming dari seluruh Asia bagi merebut hadiah wang tunai yang ditawarkan. Menariknya ia merupakan kali pertama jenama penjagaan diri dan jenama kesihatan serta kecantikan yang bekerjasama untuk mengangkat industri eSukan.

Kejohanan ini terbahagi kepada dua fasa iaitu fasa pertama yang mengkehendaki para peserta berdaftar secara atas talian dan bermain permainan video yang telah dipilih oleh pihak penganjur untuk melayakkan diri ke pusingan kedua. Para peserta yang layak akan dijemput untuk menghadiri acara ‘on-ground’ untuk pusingan separuh akhir dan akhir yang akan berlangsung di Sunway Velocity.
Pengunjung yang berkunjung ke pusat membeli-belah Sunway Velocity pada pusingan separuh akhir dan akhir akan turut berpeluang menontonnya secara langsung. Ini kerana ia akan disiarkan melalui skrin besar dan akan diiringi dengan komentari daripada pengulas eSukan yang bertauliah.