ASUS ROG Phone – Peranti Gaming Yang Sukar Ditandingi Dari Aspek Spesifikasi, Perisian Dan Aksesori 0 242

Apabila sebut sahaja tentang telefon pintar gaming, sokongan pemproses yang berkuasa sahaja tidak memadai kerana ia masih belum mampu menjanjikan pengalaman yang terbaik. Jadi menyedari akan trend telefon pintar gaming yang semakin mendapat tempat di pasaran, ASUS ROG Phone telah diperkenalkan dengan memfokuskan kepada tiga aspek utama iaitu prestasi, paparan skrin dan juga kawalan.

SPESIFIKASI

  • ROG UI (Android 8.1 Oreo)
  • Qualcomm Snapdragon 845, 4x 2.96GHz + 4x 1.7GHz (10nm)
  • Adreno 630 @ 710MHz
  • 128GB / 512GB (UFS 2.1)
  • 8GB RAM (LPDDR4X)
  • 6.0 inci AMOLED FHD+ (2160 x 1080 piksel)
  • 90Hz dengan masa respons 1ms
  • DCI-P3, nisbah kontras 10,000:1, 2.5D Gorilla Glass 6, HDR (Mobile & Gaming)
  • Kamera utama: 12MP Sony IMX363 (f/1.7) + 8MP (f/2.2)
  • Kamera depan: 8MP (f//2.0)
  • Speaker stereo (5-magnet speaker, dwi smart amplifier NXP 9874)
  • WiFi 802.11a/b/g/n/ac/ad, Bluetooth 5.0, 2x USB-C, bicu audio 3.5mm
  • 4000 mAh (Quick Charge 4.0, 10V3A / 30W)
  • 158.83 x 76.16 x 8.3mm
  • 200g

Tonton video buka kotak:

 

PAKEJ PEMBELIAN

Kotak pembungkusan


Kotak pembungkusan ASUS ROG Phone sememangnya sangat unik dan memberikan pengalaman buka kotak yang tidak akan dirasai pada kebanyakan telefon pintar yang ada di pasaran.

Aksesori

Pakej pembelian ASUS ROG Phone boleh dianggap agak lengkap, kecuali ia tidak didatangkan dengan fon telinga.

Apa yang menarik tentang aksesori ASUS ROG Phone!

Kabel USB-C ke USB-C pada ASUS ROG Phone bukan sahaja tebal, tetapi ia juga sangat berkualiti kerana diperbuat daripada fabrik.
Setiap pembelian akan turut menerima ASUS ROG Phone Case secara percuma.
Lebih istimewa, ia juga akan turut didatangkan dengan aksesori khas untuk gaming iaitu AeroActive Cooler untuk membantu menyejukkan peranti.

 

REKA BENTUK

Rekaan ASUS ROG Phone sahaja sudah cukup untuk memberitahu kepada umum bahawa ia sememangnya disasarkan untuk gamers. Ini jelas dapat dilihat melalui sokongan warna space grey dan juga copper plasma. Untuk pengetahuan pembaca, rekaan ASUS ROG Phone sebenarnya telah diinspirasikan daripada Tactical knife yang merupakan rekaan ketiga daripada empat rekaan yang dicuba iaitu Humanoid robot, Stealth aircraft  dan juga Super car.

Paparan Skrin

Hadir dengan skrin AMOLED sebesar 6.0 inci beresolusi 2160 x 1080 piksel, mungkin ada yang mempertikaikan mengapa ia tidak menggunakan skrin dengan resolusi lebih tinggi. Pada pendapat kami skrin FHD+ sebenarnya sudah memadai kerana ROG Phone menjanjikan kualiti paparan yang jauh lebih baik dengan sokongan 90Hz dan juga masa respons hanya 1ms yang sesuai untuk gaming.

Namun begitu, anda sebenarnya perlu mengaktifkan pilihan kadar segar semula 90Hz itu secara manual kerana secara default ia akan dioperasikan pada 60Hz. Untuk berbuat demikian, anda perlu mengakses Settings → Display → Refresh rate dan pilih menu 90Hz.

Terdapat tiga pilihan AOD.

Dilengkapi dengan skrin Corning Gorilla Glass 6 2.5D, teknologi paparan DCI-P3 dan juga HDR, anda juga boleh mengaktifkan fungsi Always-on Panel (lebih dikenali sebagai AOD) dengan tiga gaya jam berbeza secara manual dengan mengakses Settings → Display → Always-on Panel.

Speaker stereo

Berbeza dengan sokongan speaker stereo pada kebanyakan peranti di pasaran, ASUS ROG Phone memiliki dua buah speaker terletak di panel hadapan. Bahkan kualiti audio yang dihasilkan pada kedua-dua speaker ini adalah sama lantang kerana ia memiliki amplifier pintar NXP 9874 yang berasingan.


Pengalaman bermain atau menggunakan VR/AR juga terasa lebih realistik kerana ia mampu menghasilkan audio 3D dengan efek bunyi keliling 7.1 melalui sokongan DTS:X Ultra 1.0.

Panel Belakang

Apabila dilihat pada bahagian belakang ASUS ROG Phone, ia jelas memperlihatkan rekaan yang berbeza dengan jika dibandingkan dengan lain di pasaran. Dilengkapi dengan panel kaca 3D daripada Gorilla Glass, dwi kamera 12MP + 8MP yang disokongnya memiliki potongan rekaan yang agak unik.

Potongan yang unik pada dwi kamera dan juga sensor pengimbas cap jari pada ASUS ROG Phone turut menyerlahkan lagi rekaannya.

Selain rekaan sensor pengimbas cap jari yang juga unik, kedudukannya tidak terletak di tengah-tengah panel belakang sebagaimana peranti yang lain. Sungguhpun begitu proses untuk membuka peranti tidak menjadi masalah kerana ia boleh diakses dengan mudah sama ada tangan kiri ataupun kanan.

Dua Port USB-C

ASUS ROG Phone bukan sahaja disediakan dengan bicu audio 3.5mm, tetapi ia juga memiliki dua port USB-C berasingan iaitu terletak di bahagian bawah kerangka, dan juga sisi kanan kerangkanya. Penyediaan port kedua ini sememangnya sangat praktikal kerana ia membolehkan anda mengecas peranti tanpa mengganggu pengalaman ketika bermain.

Port USB-C yang pertama ditempatkan pada bahagian bawah kerangka, yang mana turut tersedia dengan mikrofon dan juga bicu audio 3.5mm.
Port USB-C kedua pula boleh ditemui di sisi kiri kerangka dan lebih dikenali sebagai port 48-pin untuk sambungan aksesori.

Untuk pengetahuan anda, port pada sisi kanan kerangka telah dibangunkan khusus untuk ASUS ROG Phone yang menggunakan sambungan jenis 48-pin. Port ini tersedia dengan port standard USB-C 3.0 dan juga port khas untuk sambungan aksesori yang diperkenalkan oleh ASUS untuk ASUS ROG Phone.

 

ANTARAMUKA ROG UI

Berbeza dengan peranti ASUS dari siri ZenFone, ROG Phone menyokong penampilan antaramuka eksklusif dikenali sebagai ROG UI yang khusus untuk gaming. Bagi memudahkan anda melihat sendiri keistimewaan antaramuka ROG UI pada ASUS ROG Phone, berikut adalah screenshots yang telah kami ambil:

 

CIRI-CIRI ‘GAMING’ EKSKLUSIF

Selain hadir dengan sokongan pemproses Qualcomm Snapdragon 845 terpantas di dunia, paparan skrin dengan kadar segar semula 90Hz, speaker stereo dan juga bateri berkapasiti 4000 mAh dengan teknologi pengecasan pantas Quick Charge 4.0, berikut adalah ciri-ciri gaming eksklusif yang dimiliki oleh ASUS ROG Phone:

#1. Sistem ROG GameCool

Memandangkan ASUS ROG Phone dikuasakan dengan CPU terpantas, ia telah dilengkapi dengan sistem penyejukan yang lebih baik dikenali sebagai ROG GameCool. Terdapat tiga komponen utama untuk memastikan penyejukan optimum iaitu 3D vapor-chamber, Copper heat spreader, dan juga Carbon cooling pads. Kehadiran sistem ROG GameCool ini berupaya menurunkan suhu permukaan ASUS ROG Phone sehingga -4.7°C.

#2. Aura RGB Lighting

Logo ROG pada bahagian belakang ASUS ROG Phone akan bertukar-tukar warna.

Logo ROG pada panel belakang ASUS ROG Phone hadir dengan sentuhan lampu LED RGB yang membantu menyerlahkan lagi rekaan fizikalnya sebagai sebuah peranti gaming. Namun begitu anda hanya boleh menyalakan lampu LED RGB ini dengan mengaktifkan melalui menu Game Center iaitu di bawah tetapan Aura Lighting.

Anda juga sebenarnya boleh melaras nyalaan lampu LED RGB tersebut dengan mengakses menu Aura Lighting dan nyalaan LED RGB itu boleh diubah dalam empat gaya berbeza iaitu Static, Breathing, Strobing dan juga Color cycle. Malah anda juga boleh menetapkan kelajuan nyalaan LED RGB, dan menu Lighting synchronization pula membenarkan anda membuat atau menyertai ASUS ROG Phone yang lain supaya nyalaan LED RGB diselaraskan efeknya.

#3. AirTriggers

AirTriggers menjanjikan pengalaman permainan seperti menggunakan butang L1 dan R1 pada alat kawalan konsol.

ASUS ROG Phone turut disediakan dengan ciri AirTriggers yang membolehkan anda mengawal permainan seakan-akan menggunakan konsol. Terdapat tiga sensor sentuhan ultrasonik pada ASUS ROG Phone iaitu dua pada sisi kanan kerangka untuk digunakan dalam mod landskap, dan satu lagi sensor sentuhan ultrasonik terletak di sisi kiri kerangka untuk digunakan dalam mod potret.

Secara fizikalnya, AirTriggers bukanlah butang fizikal sebaliknya ia menyokong teknologi sensor sentuhan ultrasonik yang sensitif.

AirTriggers ini bukan sahaja sensitif pada sentuhan iaitu dengan tekanan kurang daripada 20g dan 10ms masa respons, tetapi ia juga boleh diprogramkan sepenuhnya. Ini bermakna anda boleh mengubahnya untuk tujuan sasaran, menembak, kawalan pemanduan dan banyak lagi, bergantung kepada jenis permainan.

Lebih menariknya, ia juga boleh digunakan untuk mengaktifkan aplikasi atau fungsi tertentu. Anda perlu mengaktifkan fungsi AirTriggers dengan mengakses menu Settings → Advanced → AirTriggers ataupun melalui menu di dalam aplikasi Game Center.

#4 Game Center

Game Center merupakan aplikasi eksklusif untuk ASUS ROG Phone dan ia akan memaparkan status peranti iaitu CPU, GPU, RAM dan juga ROM. Melalui aplikasi ini juga, pengguna boleh menentukan sendiri profil bagi setiap permainan apabila ia dimainkan seperti menutup semua aplikasi secara automatik, menetapkan frekuensi maksimum CPU, pilihan kadar segar semula skrin, dan banyak lagi.

#5. X Mode

Apabila fungsi ‘X Mode’ diaktifkan, terdapat simbol X akan dipaparkan pada bahagian atas status bar.

Fungsi X Mode boleh diaktifkan melalui dua cara berbeza iaitu sama ada menghidupkannya terus di ruang notifikasi ataupun dengan kaedah menggenggam bahagian bawah peranti (AirTriggers). Sebaik sahaja fungsi ini diaktifkan, tema warna ASUS ROG Phone termasuk ikon dan warna fon akan bertukar daripada jingga ke warna merah.

Pengaktifan fungsi ‘X Mode’ juga secara automatik akan menukar keseluruhan tema warna ASUS ROG Phone daripada warna jingga kepada warna merah.

Pengaktifan X Mode secara automatik akan meningkatkan frekuensi CPU dan dalam masa yang sama akan mengoptimumkan memori (RAM) untuk tujuan gaming. Jadi sekiranya anda tidak menggunakannya untuk aktiviti permainan, kami sarankan agar fungsi X Mode ini dimatikan bagi menjimatkan penggunaan bateri dan juga bebanan pada CPU secara berpanjangan.

#6. AeroActive Cooler

Warna lampu LED RGB pada aksesori AeroActive Cooler ini akan diselaraskan secara automatik dengan ASUS ROG Phone.

Dengan setiap pembelian ASUS ROG Phone, anda akan turut menerima aksesori AeroActive Cooler secara percuma. Aksesori ini boleh disambungkan pada peranti melalui penyediaan port 48-pin yang terdapat pada sisi kiri kerangkanya. Untuk mengawal kelajuan kipas, anda boleh mengakses aplikasi Game Center dan ia boleh ditetapkan sebagai automatik ataupun menetapkan kelajuannya pada empat tahap berbeza.

Memandangkan bunyi kipas agak kuat apabila ia ditetapkan pada kelajuan maksimum, ia langsung tidak akan mengganggu audio pada rakaman video, penstriman langsung, panggilan ataupun perbualan di dalam permainan (contoh: PUBG Mobile). Ini kerana secara automatik kipas akan dimatikan apabila peranti mengesan penggunaan mikrofon.

 

PRESTASI BENCHMARK

 

HASIL GAMBAR

 

PANDANGAN TEKNORATZ

Seperti yang telah kami katakan sebelum ini, ASUS ROG Phone telah menetapkan satu penanda aras yang mungkin sukar untuk digugat oleh mana-mana peranti gaming lain di pasaran. Selain rekaan premium dengan kemasan panel belakang yang unik, sokongan perkakasan dan juga perisian ASUS ROG Phone telah dioptimumkan khusus untuk gamers sejati. Bahkan ia juga turut didatangkan dengan pelbagai aksesori tambahan yang dikhususkan untuk pengalaman gaming terbaik.

Berdasarkan kepada pengalaman kami ketika bermain menggunakan ASUS ROG Phone, sokongan aksesori AeroActive Cooler yang diberikan secara percuma sememangnya sangat membantu dalam memastikan peranti tidak berhadapan dengan isu overheating. Kelancaran permainan juga terasa begitu baik dan melalui pengamatan kami, PUBG Mobile mampu memperolehi purata sekitar 40fps, manakala Mobile Legends pula mencatatkan purata lebih daripada 60fps dengan grafik tertinggi.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend