ASUS Lancar Komputer Riba Terbaru Dikuasakan AMD Ryzen Pada Harga Bermula RM2,199 Comments Off on ASUS Lancar Komputer Riba Terbaru Dikuasakan AMD Ryzen Pada Harga Bermula RM2,199

ASUS Malaysia hari ini telah bekerjasama dengan AMD bagi melancarkan barisan komputer riba terbaru ke pasaran tempatan. Berbeza dengan keluaran sebelum ini, ASUS kini telah memilih cip pemproses AMD sebagai nadi utama untuk ketiga-tiga model terbaru ini.

Kita mulakan dengan siri gaming, ROG Zephyrus G (GA502) merupakan komputer riba permainan yang memiliki rekaan kerangka badan yang kompak dan ringan. Ia dikuasakan CPU AMD Ryzen 7-3750H dan kad grafik NVIDIA GeForce GTX 1660 Ti Max-Q untuk permainan berdefinasi tinggi sehingga HD penuh. Ia digandingkan bersama memori sehingga 32GB DDR4 dan storan sebesar 512GB SSD NVMe.

Untuk paparan, Zephyrus G dipadankan dengan skrin 15-inci berbingkai nipis dengan ketebalan 20mm. Prestasi skrin juga lebih baik dengan sokongan kadar segar semula 120Hz dengan resolusi HD penuh. Sistem penyejukan pula hadir dengan teknologi Active Aerodynamic System yang mampu mengurangkan haba serta memberikan keselesaan kepada pengguna.

Kami dimaklumkan yang mana komputer riba ini mampu beroperasi dalam tempoh yang panjang sekitar tujuh ke lapan jam dengan sekali pengecasan penuh. ASUS ROG Zephyrus G (GA502) akan dijual pada harga RM4,999 mulai Jun 2019 di seluruh negara.

Komputer riba yang seterusnya pula adalah TUF Gaming FX505. Model ini merupakan komputer riba gaming dengan harga mampu milik. Ia hadir dengan spesifikasi terbaru seperti papan kuasa menggunakan CPU AMD Ryzen 7-3750H / Ryzen 5-3550H dengan memori sehingga 8GB DDR4 dan storan seluas 512GB SSD.

Komputer riba ini dilengkapi teknologi paparan lebih kurang sama dengan ROG Zephyrus, ia menggunakan skrin 15.6-inci dengan kadar segar semula 120Hz. Terdapat beberapa pilihan kad grafik dikeluarkan antaranya ialah NVIDIA GeForce GTX 1650, GTX 1660 Ti, dan yang tertinggi RTX 2060.

  • ASUS TUF Gaming FX505 (AMD Ryzen 5-3550H, NVIDIA GTX 1050, 4GB RAM) – RM2899
  • ASUS TUF Gaming FX505 (AMD Ryzen 5-3550H, NVIDIA GTX 1650, 4GB RAM) – RM3199
  • ASUS TUF Gaming FX505 (AMD Ryzen 7-3750H, NVIDIA GTX 1650, 4GB RAM) – RM3499
  • ASUS TUF Gaming FX505 (AMD Ryzen 7-3750H, NVIDIA GTX 1660Ti, 8GB RAM) – RM4399
  • ASUS TUF Gaming FX505 (AMD Ryzen 3750H, NVIDIA RTX 2060, 8GB RAM) – RM5199

ASUS turut memperkenalkan VivoBook Ultra (A412), menawarkan komputer riba kerja yang nipis serta ringan. Sedikit berbeza dengan dua komputer riba di atas, ia diperkasakan CPU AMD Ryzen 5-3500U dan CPU AMD Radeon RX Vega 8. Bersama-samanya adalah memori 4GB DDR4 dan storan 256GB SSD disamping paparan skrin 14-inci HD penuh.

Komputer riba ini juga memiliki bingkai paparan yang nipis dan dikelilingi garisan getah pada permukaan skrin untuk memberikan pengalaman premium apabila ia dilipat tutup. Dengan berat 1.5kg, VivoBook Ultra dijual pada harga RM2,199 seunit yang boleh dibeli bermula hari ini.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend