Apple iPad Pro 11 Dan 12.9 Diperkenalkan – Direka Semula Sepenuhnya Serta Lebih Berkuasa Comments Off on Apple iPad Pro 11 Dan 12.9 Diperkenalkan – Direka Semula Sepenuhnya Serta Lebih Berkuasa

Apple baru sahaja melancarkan iPad Pro kepada umum pada acara khas semalam. Dua saiz ditawarkan ialah 11-inci dan 12.9-inci, kedua-duanya kini direka semula sepenuhnya sekaligus ia tampak lebih segar serta moden. Apple juga memberitahu tablet mereka kali ini lebih berkuasa berbanding laptop biasa yang berada di pasaran.

Apple iPad Pro 11 dan iPad Pro 12.9 menggunakan paparan Liquid Retina berteknologi ProMotion dimana masing-masing menawarkan resolusi skrin 2388 x 1668 piksel dan 2732 x 2048 piksel disamping menyokong ciri True Tone Display. Oleh kerana saiz bezel telah dikurangkan untuk memberi ruang kepada skrin, butang Home kini tidak dapat dilihat lagi. Bagaimanapun ia telah diganti dengan fungsi nyahkunci pengecaman wajah, FaceID.

Dikuasakan cip pemproses mudah alih terbaik Apple A12X, kedua-dua iPad Pro mampu melakukan kerja-kerja menyunting gambar dan video dalam keadaan pantas. Malahan, Apple turut menambah ia mampu memainkan permainan mudah alih dan aplikasi AR dengan lancar tanpa sebarang isu. Ini kerana cipset A12X dibangunkan menerusi teknologi Neural Engine dengan format cip 64-bit.

Kedua-dua iPad berkongsi lensa kamera utama yang sama iaitu menggunakan kamera tunggal 12MP f/1.8 dengan zum digital sehingga 5-kali. Kamera ini juga menyokong ciri Smart HDR untuk rakaman gambar yang lebih terperinci pada masa sama rakaman video turut menyokong sehingga 4K. Tidak seperti iPad terdahulu, iPad Pro 11 dan 12.9 kini boleh mengambil gambar berlatar belakang kabur (bokeh), FaceTime, Animoji, dan Memoji.

Rekaan iPad Pro yang lebih berkotak ini tidak lengkap dengan fungsi Apple Pencil. Apple juga telah mereka semula batang pensil mereka untuk fungsi yang lebih praktikal. Butang kapasitif telah diletakkan di pergelangan pensil untuk untuk pengguna menukar perkakas semasa melakukan kerja-kerja melakar. Kini, Apple Pencil boleh dicas dengan hanya meletakkannya di atas kerangka iPad Pro.

Bagi memudahkan pengguna memindahkan gambar daripada kamera DSLR atau digital, iPad Pro kini menyokong sambungan USB Type-C berbanding Lightning port pada generasi terdahulu. Teknologi ini juga sebenarnya lebih pantas tidak kira dalam proses pindah data mahupun pengecasan.

Walaupun iPad Pro ini sarat dengan teknologi terkini, ia adalah iPad yang paling ringan pernah dibina oleh Apple. Berat yang dinyatakan pula ialah hanya 468g tetapi Apple tidak menyatakan kapasiti bateri. Bagaimanapun, pihaknya memaklumkan iPad Pro boleh digunakan sehingga 10 jam dengan sekali pengecasan.

Apple iPad Pro 11 dan 12.9 didatangkan dengan dua pilihan warna Silver dan Space Gray dengan varian Wi-Fi atau Wi-Fi + LTE. Di bawah adalah perincian harga untuk setiap model:

Apple iPad Pro 11

  • Wi-Fi (64GB) – RM3,499
  • Wi-Fi (256GB) – RM4,149
  • Wi-Fi (512GB) – RM4,999
  • Wi-Fi (1TB) – RM6,999
  • Wi-Fi + LTE (64GB) – RM4,149
  • Wi-Fi + LTE (256GB) – RM4,799
  • Wi-Fi + LTE (512GB) – RM5,649
  • Wi-Fi + LTE (1TB) – RM7,349

Apple iPad Pro 12.9

  • Wi-Fi (64GB) – RM4,349
  • Wi-Fi (256GB) – RM4,999
  • Wi-Fi (512GB) – RM5,849
  • Wi-Fi (1TB) – RM7,549
  • Wi-Fi + LTE (64GB) – RM4,999
  • Wi-Fi + LTE (256GB) – RM5,649
  • Wi-Fi + LTE (512GB) – RM6,499
  • Wi-Fi + LTE (1TB) – RM8,199
Previous ArticleNext Article

Send this to a friend