Apa Yang Perlu Diketahui Tentang PKPB Bagi Sektor Peruncitan Dan Pendidikan Comments Off on Apa Yang Perlu Diketahui Tentang PKPB Bagi Sektor Peruncitan Dan Pendidikan

Mulai hari ini (4 Mei 2020), Kerajaan Malaysia telahpun membuka semula (restart) ekonomi negara dengan membenarkan industri dan aktiviti perniagaan untuk beroperasi secara menyeluruh iaitu dikenali sebagai Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Walau bagaimanapun, kebenaran untuk membuka semula operasi perniagaan adalah tertakluk kepada persediaan dan langkah-langkah yang diambil oleh peniaga untuk memastikan kepatuhan kepada Garis Panduan Operasi (SOP) yang telah ditetapkan.

Jadi bagi memudahkan anda untuk mengetahui dengan lebih lanjut PKPB bagi sektor peruncitan dan pendidikan, berikut adalah soalan lazim (FAQ) yang dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP):

SEKTOR PERUNCITAN

1. Apakah semua premis/kemudahan di pusat membeli belah dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh penguatkuasaan PKPB?

Tidak. Perniagaan seperti panggung wayang, gimnasium atau pusat karaoke, dan pameran seperti pameran kerjaya/perkahwinan adalah tidak dibenarkan. Rujuk laman mkn.gov.my untuk melihat senarai penuh yang akan dikemaskinikan dari masa ke semasa.

2. Adakah terdapat surat kelulusan/kebenaran beroperasi yang diperlukan untuk sektor peruncitan sepanjang tempoh penguatkuasaan PKPB?

Tiada.

3. Apakah senarai aktiviti-aktiviti yang dilarang?

Aktiviti-aktiviti yang dilarang adalah seperti berikut:

  • Karnival Jualan
  • Fitting Pakaian di kedai pakaian dan aksesori fesyen
  • Melipat baju di premis dobi layan diri
  • Kedai gunting rambut dan salun kecantikan

4. Bolehkah pelanggan eggan memberikan maklumat peribadi seperti nama dan nombor telefon kepada pemilik premis?

Boleh, tetapi pemilik premis mempunyai hak untuk menghalang pelanggan daripada memasuki premis sekiranya pelanggan tidak memberikan maklumat tersebut.

5. Adakah dobi layan diri boleh dibuka dan beroperasi?

Semua perkhidmatan dobi termasuk dobi layan diri boleh menjalankan operasi seperti biasa tertakluk kepada aktiviti yang dilarang di bawah SOP Pembukaan Semula Ekonomi iaitu melipat baju di premis dobi layan diri.

6. Adakah perkhidmatan selepas jualan seperti penyelenggaraan mesin penapis air dibenarkan sepanjang tempoh PKPB?

Dibenarkan.

7. Adakah pemilik restoran boleh melarang pelanggan daripada makan di restoran?

Boleh, terpulang kepada pemilik premis untuk menentukan kaedah terbaik untuk perkhidmatan restoran masing-masing sama ada melalui dine-in, take away atau delivery (penghantaran).

8. Adakah pemilik restoran boleh menawarkan perkhidmatan Buffet?

Perkhidmatan buffet bagi restoran adalah tidak dibenarkan disebabkan ianya akan lebih terdedah kepada kemungkinan pendedahan kepada droplets dan pencemaran makanan.

9. Adakah peruncit boleh mengadakan jualan murah dan jualan gudang?

Semua peruncit boleh mengadakan jualan murah di premis masing-masing tanpa melibatkan pembinaan booth tambahan di dalam premis. Jualan gudang juga dibenarkan tetapi perlu mematuhi SOP yang ditetapkan. Sebarang bentuk Karnival Jualan adalah dilarang.

10. Adakah pasaraya boleh beroperasi 24 jam?

Tidak. Waktu operasi adalah tertakluk kepada SOP Pembukaan Semula Ekonomi yang telah ditetapkan dan peraturan semasa Pihak Berkuasa Tempatan.

11. Adakah penghantaran barangan/perkhidmatan di bawah eDagang boleh dilaksanakan di semua kawasan?

Penghantaran/perkhidmatan eDagang boleh dilaksanakan di semua lokasi kecuali di lokasi yang diisytiharkan sebagai kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

12. Bolehkah waktu operasi stesen minyak yang ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri diseragamkan untuk memastikan tempoh operasi stesen sesuai dengan tempoh operasi perniagaan lain yang dibenarkan?

Waktu operasi stesen minyak adalah tertakluk kepada Pihak Berkuasa Tempatan.

13. Adakah perkhidmatan cuci kereta dan restoran makanan segera di dalam kawasan stesen minyak dibenarkan beroperasi seperti biasa?

Boleh, dengan mengamalkan langkah-langkah pencegahan COVID-19 yang berkaitan seperti penjarakan sosial dan pengehadan jumlah pelanggan dalam premis pada satu-satu masa.

SEKTOR PENDIDIKAN

A. PEMBUKAAN SEMULA SEKOLAH

1. Adakah sekolah dibuka semula semasa PKPB?

Tidak, semua sekolah masih ditutup.

2. Bilakah akan dimaklumkan mengenai tarikh pembukaan semula sekolah?

Sekurang-kurangnya dua (2) minggu sebelum sekolah dibuka.

B. GURU DAN PENTADBIR SEKOLAH

3. Bolehkan Pengetua/Guru Besar dan pentadbir hadir bertugas di sekolah semasa PKPB?

Boleh, jika ada keperluan.

4. Bolehkan guru terus melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) dari rumah semasa PKPB?

Boleh. Guru digalakkan untuk terus melaksanakan PdP dari rumah.

5. Bolehkah guru ke sekolah semasa PKPB?

Boleh, jika terdapat keperluan dengan kelulusan pentadbir sekolah. Pentadbir sekolah perlu memastikan kehadiran pada tahap minimum pada satu-satu masa.

6. Bagaimanakah guru yang terkandas di kampung/luar kawasan boleh pulang ke tempat tinggal semasa PKPB?

Guru hendaklah memohon melalui aplikasi GERAK MALAYSIA dan mengikut jadual yang ditetapkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM). Guru perlu membuat perancangan awal untuk pulang ke tempat tinggal.

7. Adakah guru yang pulang ke negeri tempat bertugas perlu menjalani kuarantin?

Tertakluk kepada keperluan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa negeri berkenaan.

8. Bagaimanakah guru yang sedang berada di Semenanjung boleh pulang bertugas ke Sabah/Sarawak/Wilayah Persekutuan Labuan atau sebaliknya?

Guru hendaklah memohon melalui aplikasi GERAK MALAYSIA bagi perjalanan ke lapangan terbang yang merentasi sempadan negeri. Tiket perlu ditempah sendiri dengan seawal mungkin bagi memastikan proses perjalanan yang lancar termasuk keperluan untuk kuarantin.

9. Adakah KPM menyediakan panduan kepada pihak sekolah dan guru bagi memastikan keselamatan mereka semasa bertugas di sekolah dalam tempoh PKPB dan Pasca PKP?

Ya. KPM akan mengeluarkan Garis Panduan Pengurusan Sekolah pasca PKP yang turut terpakai semasa PKPB.

C. ANGGOTA KUMPULAN PELAKSANA (AKP)

10. Bolehkah Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) ke sekolah semasa PKPB?

Boleh, jika terdapat keperluan dan kelulusan pentadbir sekolah. Pentadbir sekolah perlu memastikan kehadiran pada tahap minimum pada satu-satu masa.

D. PERKHIDMATAN KEBERSIHAN BANGUNAN DAN KAWASAN (KBK)

11. Bolehkah perkhidmatan Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) di sekolah/institusi pendidikan/pejabat/kuarters di bawah KPM dilaksanakan semasa PKPB?

Boleh, kecuali bangunan yang dijadikan sebagai pusat kuarantin dan penempatan yang diselia oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

12. Berapakah bilangan pekerja perkhidmatan KBK yang dibenarkan hadir bertugas?

Mengikut bilangan yang ditetapkan oleh kontrak.

13. Adakah skop dan waktu bekerja bagi pekerja perkhidmatan KBK mengikut ketetapan dalam kontrak?

Ya.

E. PERKHIDMATAN KEBERSIHAN BANGUNAN DAN KAWASAN (KBK)

11. Adakah soalan lazim ini terpakai untuk pengoperasian sekolah swasta?

Ya.

sumber: Twitter/JPenerangan

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend