Apa Yang Kami Suka Dan Tidak Suka Tentang Samsung Galaxy S20+?! Comments Off on Apa Yang Kami Suka Dan Tidak Suka Tentang Samsung Galaxy S20+?!

Siri Galaxy S keluaran Samsung sememangnya tidak lagi perlu diperkenalkan kerana ia boleh dikatakan antara telefon pintar mercu paling popular sejak mula diperkenalkan pada tahun 2010 yang lalu. Kini selepas 10 tahun, Samsung telah tampil dengan siri Galaxy S20 yang menjanjikan penambahbaikan spesifikasi yang jauh lebih baik, terutamanya pada keupayaan penggambaran dan juga paparan skrinnya.

Memandangkan siri Galaxy S20 sudahpun mula dijual secara rasmi di negara ini, kami berpeluang mencuba sendiri model Galaxy S20+ untuk tempoh yang agak terhad. Jadi berikut adalah beberapa perkara yang kami SUKA dan TIDAK SUKA tentang Galaxy S20+.

Apa yang kami SUKA tentang Galaxy S20+?!

#1. Skrin 120Hz yang sangat lancar

Perkara paling menarik yang dapat dilihat pada Galaxy S20+ sudah tentunya pada paparan skrinnya yang boleh dikatakan antara yang terbaik boleh anda perolehi di pasaran. Ini kerana ia dilengkapi dengan panel skrin Dynamic AMOLED 2X yang sedikit melengkung pada sisi, menyokong teknologi paparan HDR10+, dan juga tahap keterangan skrin yang sangat terang.

Lebih istimewanya pengalaman menggunakan skrin Galaxy S20+ bukan sahaja terasa sangat lancar, tetapi ia juga memberi kepuasan mata memandang dengan sokongan kadar segar skrin mencecah sehingga 120Hz. Kelancaran menatal skrin dilihat jauh lebih laju dan lancar berbanding peranti dengan skrin 60Hz.

#2. Lubang kamera depan kecil

Sama seperti siri Galaxy Note10, Samsung telah memperkenalkan rekaan lubang kamera jenis Infinity-O pada bahagian atas tengah skrin. Malah ia juga dilihat menyokong sensor kamera yang sama iaitu beresolusi 10MP dengan sokongan Dual Pixel PDAF yang menjanjikan fungsi auto fokus yang lebih cepat.

Namun begitu kami menyukai pendekatan yang diambil oleh Samsung dengan memperkenalkan rekaan lubang kamera pada skrin yang jauh lebih kecil berbanding peranti mercu keluarannya sebelum ini. Bahkan boleh dikatakan antara yang terkecil boleh anda temui pada telefon pintar yang lain di pasaran.

#3. Speaker stereo padu

Apabila sebut sahaja tentang telefon pintar mercu, perkara yang akan kami pertimbangkan adalah sokongan speaker stereo yang berkuasa. Ternyata Galaxy S20+ tidak mengecewakan kami kerana kekuatan audio yang dihasilkan adalah sangat kuat dan kualitinya mampu memuaskan halwa telinga kami apabila mendengarnya.

Bahkan pengalaman menonton video atau ketika bermain permainan mudah alih lebih terasa apabila Galaxy S20+ dipegang kerana kami boleh merasai getaran yang terhasil pada panel belakangnya. Terus terang kami katakan ia mampu memberikan kepuasan tambahan yang tidak pernah kami fikirkan sebelum ini.

#4. Kuad kamera dengan zum sehingga 30x

Tampil dengan trend rekaan kamera terkini yang dikenali sebagai kamera ‘mahjong’, Galaxy S20+ tersedia dengan sokongan empat lensa untuk kamera utamanya. Penyediaan kuad kamera ini sememangnya membantu kerana ia memudahkan kami mengambil pelbagai mod gambar bergantung kepada persekitaran berbeza.

Dilengkapi dengan lensa Telephoto beresolusi 64MP, ia mampu menyokong sehingga 3x Hybrid Optic Zoom dan sehingga 30x Digital Zoom. Tidak cukup dengan itu, lensa Telephoto ini juga boleh digunakan untuk mengambil gambar makro yang lebih dekat dan jelas.

#5. Rakaman video ‘Super Steady’

Samsung sememangnya hebat dalam memastikan rakaman video 4K yang sangat stabil, tetapi keupayaan rakaman video pada siri Galaxy S20 kini telah dipertingkatkan jauh lebih baik.

Apabila fungsi ‘Super Steady’ diaktifkan, secara automatik rakaman video akan diambil dengan menggunakan lensa Ultra Wide beresolusi 12MP. Selain menjanjikan kestabilan rakaman video yang terbaik pernah kami cuba, sudut rakaman juga dilihat lebih luas.

Nota: Pengaktifan ‘Super Steady’ lebih sesuai digunakan dalam ketika merakam video pada waktu siang yang cerah. Ini kerana lensa Ultra Wide dengan aperture f/2.2 akan menghasilkan noise yang lebih ketara jika digunakan dalam persekitaran gelap.

#6. Rakaman video 8K

Siri Galaxy S20 merupakan telefon pintar pertama daripada Samsung dilengkapi dengan sokongan rakaman video 8K yang mampu menghasilkan resolusi 4x lebih tinggi berbanding 4K, atau 16x lebih tinggi berbanding rakaman HD penuh.

Dengan menggunakan lensa Telephoto beresolusi 64MP, rakaman video 8K pada Galaxy S20+ kelihatan jauh lebih jelas. Malah jika anda ingin mengabadikan detik menarik pada video yang telah direkod, Galaxy S20+ turut tersedia dengan butang ‘8K Video Snap’ yang membolehkan anda menyimpannya dalam format gambar beresolusi 33MP.

Nota: Namun begitu, sudut rakaman video 8K yang diambil menggunakan lensa Telephoto dilihat tidak seluas rakaman video 4K. Malah ia hanya berupaya menyokong setakat 24fps sahaja.

#7. Mod penggambaran ‘Single Take’

Kombinasi antara cipset berkuasa, sokongan lensa pelbagai mod dan juga teknologi AI yang lebih pintar, kini anda boleh memilih untuk mengabadikan gambar atau video pendek berdurasi sehingga 10 saat dengan hanya satu klik sahaja.

Kami hanya perlu memilih mod ‘Single Take’, menekan butang shutter dan menggerakkan kamera sekurang-kurangnya 3 saat untuk mendapatkan koleksi gambar dalam pelbagai format yang menarik.

Apa yang kami TIDAK SUKA tentang Galaxy S20+?!

#1. Harga yang agak mahal

Tidak dinafikan lagi sokongan spesifikasi Galaxy S20+ adalah cukup lengkap sebagai sebuah telefon pintar mercu. Namun begitu, harga jualan yang mencecah RM3999 dilihat agak mahal. Bahkan jika dibandingkan dengan harga Galaxy S10+ yang dilancarkan pada tahun lepas, harga Galaxy S20+ adalah RM300 lebih mahal.

#2. Tiada sokongan 5G

Dengan harga jualan yang agak tinggi dan juga trend peralihan rangkaian Internet 5G yang jauh lebih laju, kami merasakan pemilikan Galaxy S20+ agak kurang berbaloi kerana ia tidak ‘future proof’. Ini kerana pemilik peranti ini masih perlu bergantung kepada rangkaian 4G yang lebih perlahan pada masa akan datang.

#3. Skrin 120Hz terhad untuk paparan FHD+

Paparan skrin Galaxy S20+ sememangnya hebat kerana ia hadir dengan sokongan kadar segar semula skrin mencecah 120Hz. Sungguhpun begitu pengaktifan paparan 120Hz ini hanya dihadkan untuk skrin beresolusi FHD+. Manakala pemilihan skrin WQHD+ hanya boleh digunakan dengan paparan 60Hz sahaja.

Selain itu pengaktifan skrin 120Hz juga akan menyebabkan penggunaan bateri yang agak kuat. Penurunan peratusan bateri jelas dapat dilihat apabila kami menggunakannya untuk melayari Internet, menatal skrin pada aplikasi sosial dan juga ketika menonton video.

#4. Berhadapan dengan isu ‘overheating’

Berdasarkan pengalaman kami menggunakan Galaxy S20+ versi Exynos 990 sepanjang tempoh ulasan, peranti ini dilihat agak mudah berhadapan dengan isu overheating. Kami faham isu ini mungkin normal jika kami mengoperasikan aplikasi yang berat ataupun gaming dengan tetapan grafik maksimum.

Tetapi masalah ini seringkali berlaku secara tiba-tiba walaupun dalam penggunaan biasa seperti menjawab panggilan ataupun melayari aplikasi laman sosial. Malah penggunaan kamera dalam tempoh 5 minit juga boleh membuatkan bahagian atas panel belakang Galaxy S20+ ini terasa sangat panas.

Isu overheating ini secara tidak langsung akan menyebabkan peratusan bateri yang ada turun dengan lebih cepat. Bahkan ada portal antarabangsa yang mendedahkan bahawa isu ini secara tidak langsung akan menyebabkan prestasi peranti akan turut terkesan.

#5. Rekaan panel belakang mirip siri Galaxy A

Berbeza dengan rekaan kamera Galaxy S20 Ultra yang pada pendapat kami kelihatan lebih menonjol, rekaan kamera Galaxy S20+ kelihatan biasa-biasa sahaja. Rekaan kamera yang terlalu ringkas ini mungkin disukai oleh sesetengah pengguna, tetapi sebagai sebuah peranti mercu ia kelihatan tidak jauh berbeza dengan penampilan siri Galaxy A yang disasarkan untuk segmen kelas pertengahan.

Spesifikasi Samsung Galaxy S20+:

  • Samsung One UI 2.1 (Android 10)
  • Exynos 990
  • 2x 2.73GHz Mongoose M5 + 2x 2.50GHz Cortex-A76 + 4x 2.0GHz Cortex-A55
  • Mali-G77 MP11 GPU
  • 8GB + 128GB (UFS3.0)
  • Slot kad microSD sehingga 1TB
  • Slot kad hibrid: nano SIM 1 + nano SIM 2 / microSD
  • Skrin utama: 6.7 inci Infinity-O Display, WQHD+ (1440 x 3200 piksel)
  • Corning Gorilla Glass 6, Dynamic AMOLED 2X, HDR10+, 120Hz
  • Kamera utama: 12MP (f/1.8, Dual Pixel PDAF, OIS) + 12 (Ultrawide, f/2.2) + 64MP (Telephoto, OIS, 3x Hybrid Optic Zoom) + TOF 3D (Depth)
  • Kamera depan: 10MP (f/2.2, Dual Pixel PDAF)
  • Rakaman video: 8K @ 24fps / 4K 60/30fps, 1080p 60/30fps, 720p 30fps
  • Video Slo-Mo: [email protected][email protected]
  • 4500mAh
  • Pengecas pantas 25W, Pengecas pantas tanpa wayar 15W, Wireless PowerShare 9W
  • WiFi 802.11ax, Bluetooth 5.0, NFC, USB Type-C
  • Accelerometer, Barometer, Gyro Sensor, Geomagnetic Sensor, Hall Sensor, RGB Light Sensor, Proximity Sensor
  • Pengimbas cap jari pada skrin (Ultrasonic)
  • Kalis air dan debu dengan IP68
  • Saiz / Berat: 161.9 x 73.3 x 7.8mm / 186g
  • Pilihan warna: Cosmic Gray / Cloud Blue / Cosmic Black

Harga dan Ketersediaan:

Samsung Galaxy S20+ kini sudahpun dijual secara rasmi di Malaysia pada harga RM3,999. Ditawarkan dalam tiga warna pilihan, setiap pembelian akan turut menerima pakej bundle bernilai RM378 secara percuma iaitu Samsung Wireless Charger EP-P3105 (RM239) dan Samsung Evo Plus 128GB (RM139).

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend