Acer Malaysia Perkenal Empat Komputer dan Laptop Terbaru Pada Harga Bermula RM2999 0 181

Acer Malaysia hari ini tampil dengan empat produk terbaharu untuk pasaran tempatan menawarkan komputer dan laptop berkuasa untuk kegunaan produktiviti seharian. Antara yang diperkenalkan adalah Veriton Z4660G, Veriton N4660G, TravelMate X3310, dan Chromebook Spin 13 masing-masing pada harga bermula RM2,999 hingga RM4,099 sebuah.

Veriton Z4660G ialah sebuah monitor terbina dengan CPU yang dikuasakan pemproses Generasi ke-8 Intel Core i3-8100 dan i5-8500 serta memori 4GB RAM DDR4 disamping storan 1TB SATA. Skrin monitor menawarkan paparan sebesar 21.5-inci beresolusi HD penuh dengan sistem audio stereo berdefinasi tinggi. Kelebihan yang ada pada monitor ini ialah ia mempunyai kamera web yang boleh ditarik keluar daripada bingkai. Selain itu, kuasa dalaman turut dipadankan dengan teknologi Intel Optane untuk tujuan keselamatan dan pengurusan yang lebih baik.

Veriton N4660G pula merupakan desktop mini yang memiliki perkakasan dalaman yang sama seperti siri Z. Pengguna boleh menaik taraf desktop ini pada bila-bila masa melalui kerangka badan yang mudah dinyah skru. Tambahan, kerangka badannya juga telah direka berlubang untuk mengurangkan haba. Disebabkan desktop ini tidak memiliki skrin terbina, pengguna perlu mendapatkan monitor secara berasingan.

Sementara untuk Chromebook Spin 13, ia merupakan laptop pertama di dunia dengan pemproses Generasi ke-8 Intel Core i5-8250U. Laptop ini memiliki rekaan panel yang boleh diputarkan sehingga 360-darjah melaui skrin IPS 13.5-inci beresolusi QHD. Pada sistem grafik, ia dipadankan dengan kad grafik UHD Graphic 620 diikuti memori 8GB RAM dan 64GB storan jenis eMMC. Chromebook Spin 13 turut menyediakan aplikasi Android sepenuhnya dengan hampir dua juta aplikasi yang sedia dimuat turun. Menurut Acer, laptop ini boleh digunakan selama 10 jam dengan sekali pengecasan.

Berakhir dengan laptop konvensional, TravelMate X3310 pula didatangkan dengan kerangka badan aluminium gred tentera yang tahan lasak. Laptop kelas perniagaan ini mampu melakukan kerja-kerja pejabat tanpa sebarang masalah menerusi pemproses Generasi ke-8 Intel Core i5-8250U. Jangka hayat bateri yang mampu bertahan sehingga 15 jam juga membolehkan pengguna membawanya ke mana sahaja tanpa perlu membawa palam kuasa. Ia turut menyokong memori sehingga 32GB dan storan sebesar 256GB M.2 PCle SSD.

Harga:

  • Veriton N4660G – RM2,899 (i3) / RM3,399 (i5) (tiga tahun jaminan)
  • Veriton Z4660G – RM2,899 (i3) / RM3,199 (i5) (tiga tahun jaminan)
  • Chromebook Spin 13 – RM3,599 (satu tahun jaminan)
  • TravelMate X3310 – RM4,099 (tiga tahun jaminan)

Keempat-empat produk ini sudah mula dijual di kedai dalam talian Acer dan wakil penjual sah di seluruh negara bermula hari ini.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend