Acer Lancarkan Rangkaian Veriton, TravelMate, Dan Chromebook Baharu Untuk Pendidikan Dan Perniagaan Comments Off on Acer Lancarkan Rangkaian Veriton, TravelMate, Dan Chromebook Baharu Untuk Pendidikan Dan Perniagaan

Acer hari ini tampil memperkenalkan barisan produk terbaharu khususnya untuk kegunaan bisnes dan pendidikan antaranya Veriton, TravelMate, dan Chromebook yang menawarkan perkakasan berkuasa pada harga berpatutan.

Acer Veriton S, Veriton X, dan Veriton M Series

Pemilihan sebuah mesin yang mampu membuat kerja-kerja pejabat haruslah dibuat dengan tepat dan pembeli harus tahu keupayaannya agar wang yang dibelanjakan dapat digunakan secara berhemah. Tidak banyak desktop di luar sana direka untuk meja pejabat, oleh itu Acer siri Veriton dengan saiz yang kompak ada jawapannya.

Siri Veriton dikuasakan Intel Core i7 Generasi ke-8 yang digadingkan bersama pemacu jenis SSD serta memori sehingga 64GB DDR4 RAM. Pilihan untuk menaik taraf kad grafik kepada NVIDIA atau AMD telah ditawarkan kepada mereka yang berminat. Keupayaan sambungan WiFi pada dekstop ini telah dipertingkatkan untuk mengatasi masalah kepada mereka yang meletakkan desktop dibawah meja. Ia ditawarkan pada harga bermula RM1,999 serta boleh dibeli bermula Ogos di kedai dalam talian dan pengedar sah Acer di seluruh negara.

Siri Acer TravelMate X3410 dan P2

Bagi golongan korporat yang sering bekerja diluar pejabat semestinya memerlukan laptop yang berkuasa. Oleh itu, Acer TravelMate antara pilihan yang ada. Dijana menggunakan perisian Windows 10 Profesional dan pemproses Intel Core i7 Generasi ke-8, ia sebuah laptop berprestasi yang menempatkan memori RAM sehingga 32GB disamping pemacu SSD sehingga 512GB.

Paparan pula ialah sebesar 14-inci dengan badan yang sedikit tebal untuk membolehkan bateri berkapasiti besar dimuatkan bersama. Pengguna ditawarkan masa menaip yang agak panjang iaitu sekitar 15 jam malah panel skrin juga boleh dibuka dengan rata mencecah 180-darjah.

Daripada segi harga, Acer TravelMate dijual dengan tanda harga RM2,499 untuk model P2. Sementara model X pada harga RM3,999 untuk i5 dan RM4,899 untuk i7. Ia akan berada di kedai-kedai sah seluruh negara bermula September ini.

Acer Chromebook Spin 11, Chromebook 11, Chromebook Tab 10, dan Chromebox CX13

Beralih ke siri Acer Chromebook, produk-produk ini didatangkan dengan ciri-ciri menarik antaranya badan tahan lasak, papan kekunci kalis percikan air, penggunaan panel badan plastik keras, serta boleh dihidupkan dengan pantas tanpa perlu menunggu lama.

Acer Chromebook Spin 11

Acer Chromebook Spin 11 dilengkapi paparan 11.6-inci yang boleh dipusingkan sehingga 360-darjah yang boleh disentuh menggunakan pen stylus. Teras utama laptop ini dijana menerusi Intel Celeron N3450, RAM DDR4 sehingga 8GB, storan EMMC sehingga 64GB, serta bateri tahan selama 10 jam. Acer Chromebook Spin 11 ditawarkan dengan dua varian iaitu 4GB RAM / 32GB ROM pada harga RM1,399 dan varian pen stylus 8GB RAM / 64GB ROM pada harga RM1,699. Kedua-dua varian sudah boleh dibeli di stor dalam talian Acer atau kedai terpilih seluruh Malaysia.

Acer Chromebook 11

Acer Chromebook 11 hadir dengan paparan 11.6-inci HD yang dijana pemproses yang sama seperti Spin 11. Dilengkapkan bersama memori 4GB RAM dan 32GB storan, ia sebenarnya sebuah laptop kalis hentakan setinggi 1.2m. Chromebook disasarkan kepada golongan pelajar dengan harga mesra poket RM1,099. Ia boleh dibeli bermula hari ini di kedai dalam talian Acer atau kedai-kedai sah seluruh negara.

Acer Chromebook Tab 10

Acer Chromebook Tab 10 pula ialah tablet pertama di dunia yang dikuasakan Chrome OS untuk kegunaan pendidikan. Ia mengenakan paparan 9.7-inci QXGA beresolusi 2048 x 1536 piksel disamping memori RAM 4GB dan storan seluas 32GB. Pemproses Cortex A72 dan Wacom EMR stylus untuk pen stylus juga dibina di sebelah belakang peranti. Chromebook Tab 10 hanya hadir dengan warna Cobalt Blue sahaja malah ia boleh didapatkan di stor dalam talian atau pengedar sah seluruh negara pada harga RM1,299 seunit.

Acer Chromebox CX13

Acer Chromebox CX13 ialah sebuah peranti yang dilengkapi Chrome OS. Kotak kuasa ini ideal untuk kegunaan bisnes atau komputer yang diletakkan di kios-kios. Dengan saiz yang kecil ia memerlukan papan kekunci, tetikus, dan monitor secara berasingan. Pilihan yang diberikan ialah cip Intel Core i3, RAM 8GB, dan storan SSD sebesar 64GB. Melalui bicu HDMI dan USB Type-C, ia berupaya menyokong dua monitor sekaligus. Chromebox CX13 ditawarkan pada harga RM1,999 dan boleh dibeli di stora dalam talian atau semua pengedar sah di seluruh negara.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend