7 Ciri Yang Bakal Menjadi Trend Pada Telefon Pintar Pada Tahun 2019 Comments Off on 7 Ciri Yang Bakal Menjadi Trend Pada Telefon Pintar Pada Tahun 2019

Berbanding alat elektronik yang ada di pasaran, telefon pintar boleh dianggap sebagai salah satu daripada peranti yang paling cepat berevolusi. Saban tahun ada sahaja ciri baharu yang diperkenalkan oleh pengeluar telefon pintar dalam usaha memenangi hati pengguna dan ada di antara daripada ciri yang diperkenalkan tidak pernah untuk kita fikir akan menjadi realiti satu hari nanti. Jadi oleh itu apa kata kita lihat 7 ciri yang bakal menjadi trend pada telefon pintar pada tahun 2019…

1. Rekaan kamera di dalam skrin menggantikan takuk

Kemunculan takuk bukanlah sesuatu yang baru kerana trend ini terlebih dahulu diperkenalkan pada model kontroversi iaitu Essential Phone yang diumumkan pada Mei 2017 lagi. Namun begitu rekaan takuk ini telah mendapat perhatian ramai apabila Apple tampil dengan model iPhone X pada suku ketiga tahun yang sama.

Memandangkan rekaan takuk ini tidak begitu digemari oleh sesetengah pengguna, dan ini ditambah pula dengan rekaannya yang dikatakan mengganggu antaramuka aplikasi terutamanya permainan. Jadi ada di antara pengeluar seperti Samsung, Huawei dan Lenovo dilihat telah mencari alternatif dengan memperkenalkan rekaan kamera di dalam skrin.

2. Peranti boleh lipat dengan skrin fleksibel

Peranti mudah alih kini terpaksa diasingkan kepada dua segmen berbeza iaitu telefon pintar dan juga tablet, ini bagi membezakan saiz skrin yang disokongnya. Bahkan saiz skrin telefon pintar pada masa kini dilihat sudahpun mencapai saiz antara 5.8 inci hingga 6.9 inci, tetapi masih mampu menjanjikan saiz kerangka yang tidak terlalu besar kerana hadir dengan rekaan skrin penuh.

Apa yang menariknya, kini pengeluar dilihat akan menawarkan peranti 2-dalam-1 yang boleh digunakan sebagai telefon pintar biasa ataupun tablet. Sepanjang tahun 2018 ini juga sudah banyak pengeluar telah mengumumkan akan memperkenalkan telefon pintar dengan rekaan skrin boleh lipat ini dan ini termasuklah Huawei, Samsung, OPPO, Xiaomi, Motorola serta LG.

3. Keupayaan penggambaran 3 kamera atau lebih

Bermula dengan populariti Huawei P20 Pro yang menjadi peranti pertama hadir dengan sokongan tiga kamera dan kemudiannya telah diteruskan pada siri Huawei Mate 20, kini trend itu sudahpun menjadi ikutan kebanyakan pengeluar telefon pintar. Bahkan Samsung telah membawakan trend itu ke satu tahap yang lebih tinggi dengan menawarkan empat kamera pada model Samsung Galaxy A9 (2018).

Trend sokongan tiga kamera dan ke atas ini diyakini akan terus menjadi trend lebih banyak pengeluar pada tahun 2019. Perkara ini sebenarnya turut menguntungkan pengguna kerana sokongan konfigurasi kamera sebegini akan turut boleh dinikmati pada peranti dari kelas pertengahan dan tidak mustahil akan turut diterima pada peranti mampu milik.

Mungkin ada yang mempertikaikan mengapa telefon pintar memerlukan sokongan kamera yang terlalu banyak, tetapi tanpa mereka sedar perkara ini sebenarnya agak membantu. Sebagai contoh, siri Huawei Mate 20 menawarkan tiga kamera dengan lensa berbeza iaitu mod ultra luas, mod RGB, dan juga mod telefoto dengan keupayaan 3x zum optikal.

4. Teknologi pengimbas cap jari pada skrin

Vivo X20 Plus UD sebelum ini telah berjaya mengejutkan banyak pihak apabila tampil sebagai telefon pintar pertama di dunia hadir dengan sokongan teknologi pengimbas cap jari pada skrin pada Januari 2018 yang lalu. Tidak lama selepas itu lebih banyak pengeluar termasuklah Huawei, OPPO, Honor, Xiaomi, OnePlus dan banyak lagi jenama telah memperkenalkan teknologi yang sama pada peranti mereka.

Pengeluar kini telah menyedari keistimewaan teknologi ini bukan sekadar trend atau gimik, tetapi ia mampu membantu mereka untuk menghasilkan sebuah peranti dengan rekaan yang lebih menarik tanpa mencacatkan rekaan fizikalnya.

5. Skrin penuh dengan rekaan gelongsor

Alternatif terawal yang diperkenalkan oleh pengeluar pada peranti mereka bagi menyingkirkan rekaan skrin penuh bertakuk adalah dengan menawarkan rekaan jenis gelongsor. Rekaan sebegini bukanlah sesuatu yang baru kerana sebelum era telefon pintar lagi ia telah menjadi rekaan popular pada satu ketika dahulu.

Antara model yang tampil dengan rekaan sebegini adalah Xiaomi Mi MIX 3 dan juga Honor Magic 2 yang telahpun dilancarkan secara rasmi. Rekaan sebegini membolehkan lensa kamera swafoto disembunyikan di belakang skrin tanpa perlu menggunakan rekaan skrin bertakuk ataupun menebuk lubang pada skrin.

6. Rekaan dwi skrin

Satu lagi alternatif yang diperkenalkan oleh pengeluar untuk mendapatkan sebuah peranti dengan rekaan skrin penuh adalah terus menyingkirkan kamera hadapan pada peranti. Jadi bagi menutup kekurangan itu, pengguna boleh terus mengambil gambar swafoto menggunakan kamera utama dengan bantuan skrin kedua yang terdapat pada panel belakang peranti.

Buat masa ini rekaan sebegini telahpun diperkenalkan pada model Nubia X dan yang terbaru adalah model Lenovo Z5s. Bahkan penyediaan skrin kedua ini turut boleh digunakan untuk pelbagai fungsi tambahan yang lain, termasuklah digunakan sebagai pad kawalan ketika bermain permainan mudah alih.

7. Rangkaian Internet 5G

Tahun 2019 ini juga bakal menyaksikan lebih banyak telefon pintar akan diperkenalkan dengan sambungan rangkaian Internet 5G yang jauh lebih pantas. Antara pengeluar yang telah mengesahkan akan tampil dengan telefon pintar yang menyokong rangkaian 5G ini termasuklah Huawei, Samsung, Vivo, OPPO, Honor dan beberapa pengeluar lagi.

Malah negara jiran kita sendiripun telah mula menguji rangkaian 5G, hasil kerjasama antara Nokia dan pembekal telco Starhub di Singapura. Namun begitu, seperti biasa kita sebagai rakyat marhaen di negara ini terpaksalah sabar menanti dan terus bertabah untuk menggunakan rangkaian 4G+ yang itupun masih belum mencapai kepantasan seperti yang diharapkan…

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend