5 Lagi Fungsi Utama Huawei Mate 20 Dan Mate 20 Pro Didedahkan Comments Off on 5 Lagi Fungsi Utama Huawei Mate 20 Dan Mate 20 Pro Didedahkan

Jika semalam kami telah mendedahkan 8 ciri utama yang disokong oleh Huawei Mate 20, hari ini 5 lagi fungsi utama Huawei Mate 20 dan Mate 20 Pro telah berjaya didedahkan kepada umum. Melalui ketirisan bahan promosi rasmi yang dikongsikan ini, 5 fungsi utama yang difokuskan adalah bateri, kamera, keselamatan biometrik, kad memori dan juga unjuran paparan tanpa wayar.

1. Kapasiti bateri 4200 mAh dengan Huawei SuperCharge 2.0

Huawei Mate 20 Pro yang tampil dengan nama kod Laya telah disahkan menyokong bateri berkapasiti 4200 mAh, manakala Mate 20 (nama kod Hima) pula akan dilengkapi bateri sebesar 4000 mAh. Walaupun kapasiti bateri Mate 20 kekal sama seperti Mate 10, ia dikatakan mampu menawarkan hayat bateri 21% lebih lama.

Apa yang lebih menariknya, proses mengecas kedua-dua peranti ini terasa jauh lebih cepat dengan adanya sokongan teknologi Huawei SuperCharge 2.0 yang mampu mengecas 70% bateri berkapasiti 4200 mAh dalam tempoh hanya 30 minit sahaja. Pengecasan tanpa wayar pada kedua-dua siri Mate 20 ini juga terasa lebih cepat kerana ia menyokong output sehingga 15W.

2. Sokongan tiga kamera dengan ciri ‘AI Smart Zoom’

Sama seperti Huawei P20 Pro, Mate 20 dan Mate 20 Pro turut menyokong sistem penggambaran tiga kamera. Namun berbeza dengan P20 Pro yang hadir dengan lensa telefoto, kedua-dua siri Mate 20 akan menggunakan lensa ultra wide-angle. Ia juga akan menyokong fungsi penggambaran ‘AI Smart Zoom’ yang mampu menjejaki objek bergerak dan memfokuskannya secara automatik. Manakala kamera hadapannya pula mengekalkan lensa 24MP sama seperti siri Huawei P20.

Selain itu juga kedua-dua siri Mate 20 ini juga akan turut menyokong fungsi HiVision yang berfungsi sama seperti Google Lens untuk membuat carian teks, produk, lokasi dan sebagainya dengan hanya menghalakan kamera pada objek.

3. Keselamatan biometrik pertama menggunakan ‘Bone Voice ID’

Buat pertama kali dalam sejarah penghasilan telefon pintar, Mate 20 dan Mate 20 Pro akan menyokong sistem keselamatan biometrik yang dikenali sebagai ‘Bone Voice ID’ yang mampu membuka peranti menggunakan suara pengguna. Selain mampu mengakses dengan lebih cepat, ia juga dikatakan boleh berfungsi dalam persekitaran yang bising.

Sebagai tambahan, Mate 20 akan menyokong dua lagi kaedah sistem keselamatan biometrik iaitu pengecaman wajah 2D dan juga sensor pengimbas cap jari pada bahagian belakang kerangkanya. Manakala Mate 20 Pro ternyata jauh lebih hebat kerana ia hadir dengan pengecaman wajah 3D yang jauh lebih pantas berbanding iPhone X, dan juga teknologi pengimbas cap jari pada skrin.

4. Sokong slot kad memori nanoSD

Mate 20 dan Mate 20 Pro masing-masing menyokong RAM berkapasiti 4GB dan 6GB serta memori dalaman sebesar 128GB. Tetapi berbeza dengan siri P20 yang sebelum ini tidak disediakan dengan slot kad microSD, kini siri Mate 20 disahkan akan menyokong kad memori baharu yang dikenali sebagai nanoSD dengan saiz yang jauh lebih kecil. Dengan rekaan mirip seperti kad nanoSIM, ia berupaya menyokong storan tambahan sehingga 256GB.

5. Unjuran paparan tanpa wayar

Jika sebelum ini siri Mate 10 telah diperkenalkan dengan fungsi Desktop Mode, kini siri Mate 20 telah dilengkapi dengan satu lagi fungsi menarik iaitu unjuran paparan tanpa wayar (wireless projection). Melalui fungsi baharu ini, pengguna boleh memaparkan skrin Mate 20 atau Mate 20 Pro ke mana-mana monitor atau TV yang menyokong sambungan WiFi 2.4GHz ataupun 5GHz.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend