14 Fungsi Dan Ciri-Ciri Menarik Yang Ada Pada ‘Android P Developer Preview’ Comments Off on 14 Fungsi Dan Ciri-Ciri Menarik Yang Ada Pada ‘Android P Developer Preview’

Seperti yang kami pernah kongsikan sebelum ini, Google dikatakan akan melepaskan kemas kini Android P Developer Preview sekitar bulan Mac 2018 ini. Nampaknya para pembangun yang memiliki peranti Pixel, Pixel XL, Pixel 2, dan juga Pixel 2 XL sudahpun menerima kemas kini versi terbaru Android ini mulai semalam. Jadi apa kata kita sama-sama lihat apakah fungsi atau ciri-ciri baharu yang disokong oleh Android P Developer Preview ini…

1. Keupayaan untuk mengubah orientasi walaupun fungsi itu dimatikan

Bagi memastikan penggunaan nama yang lebih jelas tanpa mengelirukan pengguna, Google telah menukarkan fungsi orientasi paparan skrin dari Portrait Mode kepada Rotation Lock. Apa yang lebih menariknya, anda kini masih boleh menukarkan orientasi paparan skrin dari mod menegak ke melintang atau sebaliknya secara manual walaupun fungsi putaran automatik dimatikan. Ini boleh dilakukan melalui penyediaan ikon khas pada ruangan bar navigasi.

2. Sokongan untuk zum pada teks

Saiz paparan skrin yang kecil adakalanya menyukarkan pengguna untuk mengubah kedudukan cursor pada teks yang perlu disunting. Kini proses suntingan itu terasa lebih mudah kerana Android P menyokong fungsi zum pada teks yang kelihatan agak mirip seperti fungsi yang dimiliki oleh peranti iOS.

3. Corak leretan apabila hendak menyah-kunci peranti disembunyikan

Sebelum ini penggunaan kaedah mengunci peranti Android menggunakan ‘Pattern’ adalah kurang selamat kerana ia mudah diintip oleh individu yang tidak sepatutnya. Ini kerana leretan corak yang anda gunakan untuk menyah-kunci peranti akan sentiasa boleh dilihat sehinggalah kunci itu berjaya dibuka sepenuhnya. Kini Android P telah memastikan kaedah itu lebih selamat dengan menyembunyikan corak leretan.

4. Mod ‘Do Not Disturb’ lebih mudah

Android P telah memudahkan pengaktifan fungsi Do Not Disturb (DND) kerana ia hanya disediakan dalam satu mod sahaja berbanding pilihan tiga mod berbeza seperti Total silence, Alarms only dan juga Priority sebelum ini. Namun begitu, pengguna sebenarnya masih boleh membuat pra-tetapan mod DND ini melalui menu ‘Behavior’ yang terletak pada tetapan bunyi peranti.

5. Efek peralihan diperbaharui

Antara perkara terawal yang akan anda perasan apabila menggunakan Android P adalah efek peralihan yang diperkenalkan oleh Google. Sebagai contoh, apabila anda membuka mana-mana bahagian di dalam sesebuah aplikasi, peralihan jenis wipe-up boleh dilihat. Manakala efek peralihan secara menegak pula akan kelihatan apabila anda bertukar dari satu aplikasi ke aplikasi lain.

6. Tetapan pintas pada tetingkap PiP

PiP atau dikenali sebagai Picture-in-Picture merupakan fungsi yang telah diperkenalkan pada Android Oreo sebelum ini. Kini dengan Android P, pengguna mempunyai kawalan yang lebih baik dengan penyediaan satu ikon tetapan pintas bagi membolehkan pengguna untuk menutup kebenaran PiP pada aplikasi tersebut.

7. Ikon ‘Settings’ lebih menarik

Dengan mengekalkan rekaan antaramuka Settings yang diperkenalklan pada Android Oreo, Google kini telah menampilkan penggunaan ikon yang lebih berwarna-warni. Selain itu kedudukan menu juga turut menerima sedikit perubahan dan juga penambahan beberapa fungsi baharu seperti Feature Flags yang masih lagi belum berfungsi sepenuhnya buat masa ini.

8. Peratusan bateri kini dipaparkan pada AOD

AOD atau Always-on Display pada versi Android sebelum ini hanya memaparkan masa, tarikh dan juga notifikasi bagi memudahkan pengguna untuk melihatnya tanpa perlu mengaktifkan peranti. Kini Android P telah membawakan satu lagi ciri tambahan pada paparan AOD iaitu peratusan bateri yang ditempatkan pada bahagian bawah skrin.

9. Antaramuka ‘Quick Settings’ dan ‘Notifications’ diperbaharui

Android P dilihat lebih memfokuskan pada aspek ‘kejelasan’ dan juga ‘fungsi’ yang mana setiap notifikasi yang diterima boleh memaparkan mesej perbualan, gambar, stiker, dan juga Smart Replies. Malahan panel Quick Settings juga kini menerima sentuhan baharu dengan rekaan ikon bulat.

10. Masa pada bar status kini dipindahkan ke kiri

Di dalam versi Android sebelum-sebelum ini, Google telah mengekalkan kedudukan paparan masa pada bar status di sebelah kanan. Bahagian yang sama ini juga turut menempatkan ikon bateri, isyarat rangkaian dan sebagainya, tetapi kini paparan masa itu telah dipindahkan di sebelah kiri bar status. Sebagaimana yang anda ketahui, penukaran ini dibuat berikutan pengumuman Google yang mengesahkan bahawa Android P akan disesuaikan untuk sokongan peranti dengan takuk (notch) pada skrin.

11. Paparan volume kini hadir secara menegak

Setiap kali anda melaras kekuatan bunyi volume, ia tidak lagi akan dipaparkan secara melintang pada bahagian atas skrin. Kini dengan Android P, kedudukan paparan volume itu telah diubah pada bahagian sisi skrin secara menegak iaitu berdekatan dengan butang volume fizikal.

12. Butang pintas ‘screenshot’ dengan fungsi ‘Markup’ terbina-dalam

Sama seperti butang volume, butang pintas untuk screenshot juga hadir dengan rekaan menegak yang sama. Anda hanya perlu menekan butang kuasa selama beberapa saat untuk mengaksesnya. Malah proses suntingan ‘Markup’ juga turut disediakan bagi memudahkan pengguna.

13. Dock aplikasi tidak lagi lut sinar

Pixel Launcher pada Android P telah menerima pembaharuan kecil yang mana dock aplikasi pada bahagian bawah skrin tidak lagi tampil dengan rekaan lut sinar. Ini kerana terdapat satu lapisan separa lut sinar dengan bahagian bucu yang agak bulat.

14. ‘Easter Egg’ Android P

Seperti versi Android sebelum-sebelum ini, antara ciri tambahan yang sering dilihat oleh pengguna adalah rekaan Easter Egg yang digunakan oleh Google. Nampaknya Android P juga tidak terkecuali apabila menampilkan rekaan Easter Egg baharu dengan warna yang sangat terang.

Sumber: 9to5google

 

 

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend