10 Perkara Menarik Tentang Xiaomi Mi A2?! Comments Off on 10 Perkara Menarik Tentang Xiaomi Mi A2?!

Xiaomi Mi A2 sudahpun mula dijual secara eksklusif pada 3 Ogos yang lalu di stor rasmi Xiaomi di KLCC, dan jualan peranti terbaru dari Xiaomi ini akan dibuka secara rasmi di seluruh negara mulai 4 Ogos 2018 yang lepas. Jadi sekiranya anda bercadang untuk memilikinya, kami akan sediakan 10 perkara menarik tentang model ini…

#1. Qualcomm Snapdragon 660

Dengan harga jualan yang boleh dimiliki di bawah RM1000 untuk varian 64GB + RAM 4GB, Mi A2 boleh dikatakan peranti Android paling berbaloi dimiliki di pasaran. Ini kerana ia dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 660 yang merupakan siri Snapdragon 600 yang paling berkuasa setakat ini. Sokongan teras Kryo 260 menjanjikan peningkatan prestasi CPU sebanyak 20% dan juga prestasi GPU 30% lebih baik berbanding Snapdragon 653.

#2. Android One

Berbeza dengan peranti Xiaomi yang lain, Mi A2 telah dioperasikan dengan platform Android One yang menampilkan antaramuka Android asli tanpa sokongan aplikasi pra-pasang yang tidak diperlukan (bloatware). Apa yang lebih menariknya, sokongan Android One berasaskan Android 8.1 Oreo ini menjanjikan penerimaan kemas kini yang lebih cepat dan stabil dari Google sendiri.

#3. Kamera utama: 12MP + 20MP

Keupayaan penggambaran Mi A2 juga tidak mengecewakan kerana ia dilengkapi dengan dwi kamera iaitu kamera utama beresolusi 12MP (IMX486) hadir dengan sensor sebesar 1.25μm. Manakala kamera keduanya pula dilengkapi lensa beresolusi 20MP (IMX376) dengan saiz sensor yang lebih besar iaitu 2μm. Malah kedua-dua lensa ini menyokong aperture f/1.75 yang menjanjikan hasil gambar yang lebih terang di dalam gelap.

#4. Kamera hadapan: 20MP

Sama seperti lensa kedua pada kamera utama, kamera hadapan Mi A2 turut menyokong lensa yang sama beresolusi 20MP dari IMX376 dengan teknologi Super Pixel 4-dalam-1. Tidak cukup dengan itu, anda juga boleh bergambar di dalam persekitaran gelap tanpa masalah kerana ia turut dilengkapi dengan Selfie soft-light 4500K. Lebih menariknya, ia turut menawarkan fungsi kecantikan AI untuk memastikan hasil swafoto yang lebih cantik.

#5. Kerangka logam

Berbeza dengan pesaingnya yang dijual pada harga yang setanding, Mi A2 menjanjikan kerangka unibodi yang diperbuat daripada logam sepenuhnya. Ini secara tidak langsung menjanjikan rasa sentuhan yang lebih premium dan kukuh.

#6. Nipis dan ringan

Walaupun memiliki saiz skrin berukuran 5.99 inci yang sama seperti Xiaomi Redmi Note 5 dan ASUS ZenFone Max Pro (M1), Mi A2 ternyata hadir dengan rekaan yang lebih nipis iaitu setebal 7.3mm dan berat hanya 166g. Sebagai rujukan Redmi Note 5 hadir dengan ketebalan 8.1mm dan berat 181g, manakala ZenFone Max Pro (M1) pula setebal 8.5mm dan berat 180g.

#7. Port USB Type-C

Jika kebanyakan peranti dalam kelas harga sebegini dilihat masih lagi menggunakan port sambungan jenis microUSB, Mi A2 menjanjikan port sambungan yang lebih terkini dengan sokongan USB Type-C. Penyediaan port ini bukan sahaja menjanjikan pemindahan data yang lebih pantas, tetapi ia menyokong rekaan jenis reversible yang memudahkan proses sambungan pada mana-mana arah.

#8. Dwi SIM 4G

Mi A2 membolehkan anda untuk mengaktifkan sambungan 4G pada kedua-dua slot kad SIM secara serentak. Ini bermakna anda bebas menggunakan mana-mana kad SIM untuk tujuan melayari Internet yang lebih pantas. Ini berbeza dengan kebanyakan peranti yang akan mengaktifkan rangkaian 4G hanya pada salah satu slot kad SIM.

#9. Sambungan Inframerah

Kehadiran Inframerah pada bahagian atas kerangka Mi A2 membolehkan peranti ini digunakan sebagai alat kawalan jauh untuk pelbagai perkakasan elektrik di rumah mahupun pejabat. Ini bermaksud anda boleh terus menggunakan Mi A2 untuk mengawal penghawa dingin, TV dan sebagainya, tanpa memerlukan alat kawalan jauh berasingan.

#10. Teknologi pengecasan pantas

Di dalam pakej pembelian Mi A2, ia hanya dilengkapi palam kuasa dengan output 5V2A (10W). Tetapi untuk pengetahuan anda, Mi A2 sebenarnya menyokong teknologi Quick Charge 3.0 dengan output pengecasan mencecah sehingga 18W. Sungguhpun begitu, anda perlu membeli palam kuasa dengan sokongan Quick Charge 3.0 secara berasingan.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend