10 Aplikasi Penting Yang Ada Pada Peranti Kami – TeknoRatz Comments Off on 10 Aplikasi Penting Yang Ada Pada Peranti Kami – TeknoRatz

Setiap orang mempunyai aplikasi yang berbeza di dalam telefon pintar mereka – bergantung kepada penggunaan dan kepentingan sesuatu aplikasi tersebut. Bagi kami di TeknoRatz, kami perlukan satu aplikasi yang stabil dan mudah untuk digunakan atau lebih senang cakap ia mestilah mesra pengguna. Jika sesuatu aplikasi itu sukar untuk digunakan atau ‘lembab’, cara yang paling mudah ialah kami akan padamkannya terus daripada telefon pintar. Ya, boleh jalan..

Apa yang disenaraikan di bawah adalah aplikasi yang dianggap penting bagi kami:

foodpanda

Foodpanda ialah aplikasi tempahan makanan yang wajib kami buka setiap hari. Oleh kerana sibuk menaip di meja pejabat, kami rasa foodpanda ialah penyelamat kami dikala tengah hari. Lagipun, jimat masa kami tidak perlu untuk redah kesesakan trafik atau berjalan di tengah bandar yang sibuk seperti di KL. Lagi satu, berapa banyak makanan yang ditempah cas penghantaran dihadkan kepada RM5 sahaja. Jadi boleh pakat dengan rakan pejabat. Kadang-kadang ada promosi tau..

waze

Bukan kami tidak tahu arah untuk ke pejabat tetapi faktor utamanya ialah kami ingin tahu di manakah kesesakan trafik yang sebenar – maklumlah trafik di KL ini tidak menentu kejap okay kejap tidak. Selain daripada itu, kami juga gunakan ia untuk mengelak daripada diperangkap oleh anggota trafik yang menyorok di celah penghadang lebuh raya.

KWSP

Aplikasi ini dinamakan sebagai i-Akaun oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Mudah sebenarnya nak pantau majikan mencarum atau tidak wang simpanan kami. Dari situ kami boleh lihat baki akaun satu dan akaun dua serta melihat transaksi terakhir yang dilakukan. Bila tiba masa nak beli rumah, kami boleh tekan pautan yang akan bawa kami terus ke e-borang pendaftaran.

Ookla

Perlu ada aplikasi ini sebenarnya kerana Ookla ialah aplikasi yang mengukur tahap kelajuan internet semasa. Apabila perlu membuat kemas kini peranti atau aplikasi kami pasti akan singgah dulu di sini. Pada masa sama, kami juga boleh memantau perkhidmatan telco yang kami guna, ada ke tidak diorang naik taraf internet mereka dari masa ke semasa.

Touch ‘n Go

Aplikasi terbaharu daripada Touch ‘n Go Malaysia yang dipanggil Touch ‘n Go e-wallet. Seperti kami yang menaiki kenderaan awam ke majlis pelancaran di sekitar KL, memandu kenderaan menelan belanja yang banyak. Faham-faham lah parkir lagi, trafik itu sudah tentu, yang paling penting jimat duit poket. Oh ya, aplikasi ini seakan dompet digital yang boleh ditambah nilai. Jika kami tertinggal kad fizikal di pejabat atau dirumah kami boleh gunakan telefon untuk mengimbasnya di pintu masuk stesen LRT. Kegunaan lain ialah kami boleh bayar bil pascabayar telco dengan mudah.

Walli

Kalau bosan dengan wallpaper sedia ada, inilah aplikasi yang kami guna. Walli bukan seperti aplikasi wallpaper biasa, ia dikemas kini dengan selalu supaya kandungan wallpaper dapat dipelbagaikan. Kami memakai dua peranti yang berbeza daripada segi nisbah skrin, satu daripadanya 16:9 (iPhone 8 Plus), satu lagi 18:9 (Redmi Note 5). Setiap kali gambar ingin dimuat turun, kami boleh pilih nisbah gambar yang sesuai. Jadi, wallpaper tidak perlu di-crop atau disunting.

Buzz Up!

Kandungan video yang tular mudah sahaja muncul di ruangan notifikasi peranti kami. Apa sahaja yang berkaitan hal di dalam negara kami mudah sahaja untuk tonton. Buzz Up! ialah aplikasi yang menyediakan video-video tular mengikut kategori yang kami mahu.

11street / Lazada / Shopee

Jika barang di luar mahal, kami akan berkunjung ke kedai dalam talian. Ramai sebenarnya yang ragu-ragu akan kedai dalam talian ini. Bagi kami sebagai pengamal media yang sering hadir ke majlis rasmi 11street, Lazada, dan Shopee, ketiga-tiga platfom ini sememangnya boleh dipercayai. Produk yang dihantar juga dijamin tulen dan kami  (anda juga) boleh dapatkan potongan harga yang jarang ditawarkan di kedai-kedai. Kini banyak juga jenama rasmi membuka kedai mereka di 11street, Lazada, dan Shopee.

Netflix

Kadang kala melihat media sosial seperti Facebook dan Instagram agak membosankan, kami akan menonton filem atau drama bersiri. Kandungan di dalam Netflix (Netflix Original) menariknya ialah eksklusif dan tidak ada pada platfom lain termasuklah televisyen berbayar. Kandungan filemnya juga diperakui berkualiti daripada segi jalan cerita malah kualiti video itu sendiri. Bayaran langganan bulanan tidaklah terlalu tinggi, tetapi kami yang berpakat sesama rakan bersetuju untuk bahagikan komitmen bulanan kerana Netflix boleh digunakan oleh empat peranti berbeza. Bagi yang ada anak-anak kecil, aplikasi ini juga menyediakan kandungan yang sesuai untuk kanak-kanak.

Truecaller

Kami juga selalu menerima panggilan daripada pihak yang tidak dikenali misalnya ejen jualan dan ejen insurans, jadi di sini Truecaller sangat-sangat membantu. Ia boleh mengenal pasti panggilan yang tidak diketahui seterusnya memaparkannya siapa pemanggil di kaca skrin peranti kami. Aplikasi ini juga menyediakan fungsi menyekat panggilan yang tidak diingini serta fungsi terbaharu iaitu rakaman panggilan.

Previous ArticleNext Article

Send this to a friend